Lagi Video Acah Berkenaan Galaxy Note 9 Dikeluarkan Oleh Samsung

Selepas kami melaporkan berkenaan satu video acah yang dikirimkan oleh pihak Samsung berkaitan bateri peranti Galaxy Note 9 di laman Youtube mereka semalam, kami dapati Samsung turut mengirimkan dua video lain tentang peranti yang sama.

https://youtu.be/16i8TH6lxmo

Video yang pertama adalah tentang ruang simpanan peranti. Dalam video tersebut, seorang pengguna telefon pintar dilihat terpaksa memadam beberapa aplikasi dan fail media bagi memberi ruang kepada satu muat turun yang sedang dijalankan.

Ia seolah-olah memberi gambaran bahawa Galaxy Note 9 bakal hadir dengan ruang simpanan dalaman berkapasiti gergasi. Sebelum ini, terdapat ura-ura yang menyatakan salah satu variasi peranti ini akan didatangkan dengan ruang simpanan dalaman sebesar 512 GB.

https://youtu.be/qljRd9u1UqE

Video yang kedua telah menayangkan bagaimana seorang pengguna gagal untuk membuka fail PDF yang diperlukan. Ia masih gagal dibuka walaupun pengguna tersebut telah menghentikan beberapa fungsi seperti kemaskini automatik dan bertukar daripada mengguna Wi-fi ke sambungan 4G.

Namun video ini menimbulkan sedikit persoalan di laman Youtube, di mana penonton tertanya-tanya sama ada video ini adalah berkaitan sokongan RAM ataupun sambungan internet peranti.

Apa pun, segala persoalan akan terjawab pada 9 Ogos ini, di mana Samsung akan mengadakan satu majlis perkenalan untuk Galaxy Note 9 di New York.

Sumber