Kutipan Global Filem Avengers: Endgame Kini Sudah Lebih Daripada USD2 bilion

Endgame Mungkin Akan Mengatasi Avatar.


Filem terbaru dari Disney yang masih hangat hingga kini, Avengers: Endgame telah pun berjaya melepasi kutipan USD2 bilion di seluruh dunia.

Kutipan tersebut berjaya dicapai dalam tempoh kurang daripada 2 minggu selepas ia mula ditayang diseluruh dunia secara berperingkat sejak 24 April yang lalu.

Semakan terbaru yang dibuat di laman sesawang Box Office Mojo mendapati, filem yang dibuat dengan bajet USD356 juta itu kini telah pun mengutip sebanyak USD2,193,740,959.00.

Ia sekaligus meletakkan Avengers: Endgame ketika ini sebagai filem kedua kutipan tertinggi menewaskan filem Titanic (1997, USD2,187.5 juta), Star Wars: The Force Awakens (2015, USD2,068.2 juta) dan Avengers: Infinity War (2018, USD2,048.4 juta).

Buat masa ini Endgame masih belum mengatasi filem Avatar (2009) yang masih kekal statusnya sebagai filem dengan kutipan tertinggi di seluruh dunia iaitu sebanyak USD2,787,965,087.00 juta.

Tetapi tidak mustahil dengan kehangatan filem tersebut yang masih berterusan hingga kini dan untuk beberapa minggu lagi, ia mungkin akan berjaya mengatasi kutipan filem Avatar nanti.