Kutipan Filem Avengers: Endgame Memecah Rekod Dunia

Hanya dalam tempoh 1 hari tayangan, filem tersebut telah mengutip sebanyak USD2 juta di Malaysia.


Filem ke-22 dan terhebat dari Disney, Avengers: Endgame sedang ditayangkan diseluruh dunia ketika ini.

Ia merupakan filem penutup yang paling dinanti-nantikan oleh para peminat filem dan peminat tegar komik Marvel yang telah mengikuti 10 tahun penceritaan Marvel Cinematic Universe (MCU).

Jadi tidak hairanlah sekiranya filem ini dengan mudah memecah kutipan box office yang dipegang oleh filem sebelumnya iaitu Avengers: Infinity War.

Jika Avengers: Infinity War (2018) mengutip kutipan sebanyak USD640.5 juta dalam tempoh 5 hari tayangan diseluruh dunia, Avengers: Endgame pula telah berjaya mengutip melebihi USD1.2 bilion.

Ia merupakan hampir 2 kali ganda kutipan dari filem sebelumnya.

Menurut data dari laman sesawang Box Office Mojo, Endgame telah mengutip sebanyak USD350 juta hanya dalam tempoh 3 hari dari tayangan pawagam-pawagam di Amerika Utara sahaja (sebelum ini Avengers: Infinity War hanya berjaya mengutip sebanyak USD100 juta sahaja di Amerika Utara).

Malah Malaysia yang menjadi antara negara terawal yang menayangkan filem tersebut telah membuat kutipan sebanyak USD2 juta dalam tempoh sehari tayangan sahaja. Sekaligus meletakkannya sebagai filem dengan kutipan tertinggi yang pernah ditayang di Malaysia.

Tidak setakat itu, Endgame juga menjadi filem dengan kutipan pembukaan tertinggi di 44 buah negara termasuklah China (USD330.5 juta), Indonesia (USD14.1 juta), Thailand (USD14.3 juta), UK (USD53.8 juta), Korea (USD47.4 juta), Mexico (USD33.1 juta) dan Australia (USD30.8 juta).

Filem Avengers: Endgame dijangka akan ditayangkan dibeberapa buah negara lagi seperti Rusia bermula 29 April ini.

Ia juga dijangka akan menjadi sebagai 5 filem teratas dengan kutipan tertinggi sepanjang zaman. Tetapi adakah ia mampu memecah rekod filem Avatar yang berada di tangga pertama sejak 2009 sehingga kini dengan kutipan sebanyak USD2,787,965,087.00?

Sama-sama kita nantikan.