Kualiti Penerimaan Perkhidmatan Siaran TV Digital Myfreeview Giat Ditambah Baik

Pastikan pengguna menggunakan dekoder dan antena asli serta kabel yang betul.


Seperti yang sedia maklum, siaran TV di Malaysia sudah pun beralih sepenuhnya kepada siaran digital. Walaubagaimanapun, banyak rungutan dari pengguna telah diterima oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap kualiti penerimaan siaran TV digital yang baru dilaksanakan ini.

Susulan daripada itu, pihak SKMM telah respon dengan menyatakan bahawa pihak mereka mengambil maklum mengenai kekecewaan yang diluahkan oleh segelintir rakyat terhadap kualiti penerimaan perkhidmatan siaran TV Digital myFreeview baru-baru ini.

SKMM menjelaskan, perkhidmatan TV Digital myFreeview telah disediakan kepada pengguna melalui kaedah terestrial yang mana liputan telah mencapai 95% di kawasan berpenduduk dan melalui kaedah langsung ke rumah iaitu direct to home (DTH) bagi meliputi 98% kawasan berpenduduk serta kawasan-kawasan terlindung yang sukar menerima siaran myFreeview melalui kaedah terestrial.

Pengguna adalah digesa untuk mendapatkan khidmat nasihat melalui MYTV Careline untuk memastikan sama ada mereka berada di bawah kawasan liputan terestrial atau DTH.

Dekoder DTT dan aerial UHF diperlukan bagi menerima siaran DTT manakala dekoder DTH berserta piring diperlukan bagi penerimaan siaran DTH.

Kualiti penerimaan siaran TV Digital myFreeview akan terjejas sekiranya pengguna menggunakan dekoder dan antena tiruan yang dijual di pasaran serta penggunaan kabel yang salah. Oleh itu pengguna perlu memastikan dekoder yang dibeli mereka itu telah disahkan oleh pihak SKMM atau SIRIM.

SKMM juga memaklumkan, usaha-usaha untuk menyelesaikan masalah berbangkit sedang giat diambil sehingga kini. SKMM akan sentiasa memantau keadaan agar setiap rakyat Malaysia dapat menikmati siaran TV Digital myFreeview yang berkualiti.