Korea Selatan Bakal Muncul Sebagai Negara Pertama Dengan Sambungan 5G

Sambungan 5G semakin hampir menemui pengguna telefon pintar apabila terdapat beberapa penyedia perkhidmatan telekomunikasi sedang dalam proses menghasilkan perkhidmatan tersebut. Ia melibatkan kerjasama pelbagai pihak antaranya syarikat pengeluar peranti, pembangun sistem cip serta penyedia perkhidmatan talian mudah alih.

Hal ini juga telah berlaku di Korea Selatan apabila tiga penyedia perkhidmatan talian mereka, SK Telecom, KT dan LG U+ telah bersetuju untuk bekerjasama dalam membangunkan teknologi 5G di negara berkenaan, lapor sebuah akhbar tempatan. Ini bertujuan bagi melonggarkan sedikit persaingan antara penyedia perkhidmatan di sana.

Menteri Sains Korea, You Young-min komited kerjasama berkenaan akan menjadikan negara tersebut sebagai negara pertama yang mempunyai sambungan 5G secara meluas menjelang tahun 2020. Korea juga dijangka akan melancarkannnya buat kali pertama pada bulan Mac tahun hadapan.

Berikutan itu, syarikat pengeluar peranti terkenal Korea Selatan, Samsung sedang berusaha untuk menjadi antara pengeluar pertama yang menghasilkan peranti yang menyokong sambungan 5G. Mereka telah pun menguji perkhidmatan berkenaan bersama Mobile TeleSystems(MTS) pada awal bulan ini.

Sekiranya sambungan 5G ini boleh mula digunakan kelak, ia dijangka akan memberikan internet dengan kelajuan 20 kali lebih pantas berbanding 4G yang digunakan pada hari ini. Diharapkan agar Malaysia juga tidak akan ketinggalan terlalu lama untuk menikmati sambungan ini.

Sumber