Konsep Kamera IFEA vivo Menangi Red Dot Award - Kamera Dengan Rekaan Modular

vivo sentiasa berani dalam memperkenalkan idea-idea baharu buat peranti pintar mereka. Baru-baru ini, syarikat dari China itu telah memenangi anugerah dalam Germany's Red Dot Award.



Anugerah ini boleh dikatakan sebagai Oscar dalam dunia reka bentuk dan vivo tampil dengan rekaan kamera modular dimana kamera swafotonya boleh dicabut serta masih dapat dikawal menggunakan peranti.



Kamera ini diberi nama IFEA (Interest, Free, Explore, Amazing). Ia adalah modul kamera yang boleh ditukar dan menawarkan pelbagai mod penggambaran buat pengguna.



Konsep kamera ini mampu memberikan pelbagai jenis gambar yang diinginkan pengguna seperti lensa fisheye, super sudut lebar, telephoto, potret serta makro.

Menariknya, pengguna boleh menggunakan kamera ini secara berasingan serta dapat dikawal dengan arahan suara. Peranti pintar juga akan berikan amaran sekiranya ia mengesan modul kamera ini tertinggal.



Walaupun vivo IFEA ini masih merupakan konsep, namun ia boleh dikatakan sebagai satu inovasi yang baik daripada vivo.

Tambahan, vivo menyatakan bahawa mereka masih menilai potensi penggunaan teknologi ini dalam pasaran komersial dan kelihatan konsep ini mungkin akan menjadi realiti kelak.