Tidak perlu diperdebatkan lagi, jenama Apple sememangnya cukup popular diseluruh dunia. Sehingga kini pelbagai produk telah sedia ditawarkan dari barisan komputer riba hinggalah kepada telefon pintar mereka, iPhone.

Tarikh 21 Julai mungkin salah satu tarikh yang tidak akan dilupakan bagi pengeluar itu kerana, 21 tahun yang lalu mereka telah memperkenalkan iBook, sebuah komputer riba lengkap dengan sokongan Wi-Fi.

Rekaan unik dengan pemegang

Hadir dengan bentuk seperti cengkerang ia mempunyai dua pilihan warna iaitu putih/jingga (tangerine) dan putih/biru (blueberry) dengan kemasan seperti iMac. Pengguna zaman kini mungkin melihatnya tidak ubah seperti komputer permainan ditambah pula ia turut hadir dengan pemegang untuk lebih mudah dibawa.

IKLAN

Namun perlu kita ketahui, sewaktu dilancarkan pada tahun 1998 rekaan sebegitu sudah boleh dikatakan cukup canggih dan futuristik.

Komputer riba pertama didunia dengan sokongan Wi-Fi

Keunikan rekaan tersebut turut sama diiringi dengan ciri lain iaitu sokongan Wi-Fi dan ini sekaligus menjadikannya sebagai komputer riba pertama dengan kelengkapan itu. Pada acara pelancaran, Steve Jobs telah melakukan demonstrasi sambungan tanpa wayar itu dengan membuka halaman Apple.com dan sebuah halaman berita secara dalam talian. Beliau kemudiannya melalukan gelung pada iBook tersebut untuk membuktikan tiada wayar atau kabel yang bersambung pada peranti tersebut.

Sambungan dari iBook kepada Wi-Fi pada ketika itu dibuat melalui AirPort, kad dan base station yang berfungsi sebagai router tanpa wayar yang dijual secara berasingan. Ia merupakan kad Orinoco Gold 802.11b yang direka semula dengan integrasi antena pada iBook dan kad yang serupa pada AirPort Base Station. Apple menyatakan AirPort mampu menghubungkan sehingga 10 unit iBook dalam satu-satu masa dengan jangkauan isyarat sehingga 45 meter.

Antara spesifikasi lain yang dibekalkan pada iBook adalah pemproses PowerPC G3 300MHz, RAM 32MB, storan 3.2GB atau 6GB, CD-ROM, Ethernet dan USB. Pada 21 tahun yang lalu, iBook ini dijual pada harga $1599 (~RM6814) dan nilai itu bersamaan dengan $2509 (~RM10,692) pada tahun 2020.

Walaupun dikritik rekaan seperti “tandas duduk Barbie”, iBook dikatakan mendapat sambutan hangat pengguna pada waktu itu dengan pra-tempahnya banyak dibuat sebelum ia dilancarkan lagi.

Sumber: 9to5Mac dan CultofMac

 

Beli produk Apple dari:
Lazada:
https://invol.co/clrhoz