Komputer Apple Seterusnya Dijangka Akan Gunakan Cip AMD Ryzen Pula

Mampukah Apple untuk tidak menggunakan cip selain dari Core Intel? Nampaknya ia mungkin menjadi kenyataan kerana terdapat petunjuk bahawa Apple mungkin akan gunakan cip jenis AMD Ryzen pula.

Seperti yang diketahui umum, kesemua peranti Mac hanya menggunakan cip pemprosesan Intel Core hampir sedekad lamanya. MacBook Pro 16 inci yang terbaru Apple misalnya, ia menggunakan cip Intel gen-9 Coffe Lake.

Namun, syarikat tersebut dilihat sedang mencari cip alternatif untuk dimuatkan dalam komputer Apple seterusnya. Melalui kod yang terdapat dalam macOS 10.15.4 beta, terdapat rujukan kod nama cip AMD iaitu Picasso, Raven Ridge, dan juga Van Gogh.

Untuk makluman, Picasso dan Raven Ridge kedua-duanya merujuk kepada cip AMD Ryzen generasi pertama dan kedua. Renoir pula adalah generasi ketiga Ryzen 4000 yang baru sahaja diumumkan ketika CES 2020 dulu. Manakala untuk cip Van Gogh pula, ia belum lagi diumumkan lagi dan masih dalam fasa pembangunannya.

https://twitter.com/_rogame/status/1225381275617415168

Melihatkan AMD mempunyai pilihan sehingga 64 teras cip pemprosesan Threadripper, sudah semestinya ini merupakan sasaran Apple yang terbaik dan juga alternatif kepada Intel Xeon W. AMD telah menunjukkan ia mampu untuk mengalahkan cip Intel terutamanya untuk aplikasi pelbagai teras. Dengan harga yang lebih rendah dan penggunaan kuasa lebih rendah, pemilihan cip AMD dilihat sangat tepat untuk digunakan dalam komputer mereka seperti Mac Pro

Buat masa ini hanya spekulasi sahaja dan ia belum lagi jaminan penggunaan cip AMD dalam komputer Apple. Mungkin Apple hanya sedang mengujinya sahaja mengikut kepada kesesuaian produk mereka.

Jika Apple menjual komputer dengan cip AMD, tidak lagi Intel, mahukah anda membelinya?

Sumber: _rogame

 

Berkaitan