Kod Sumber iOS 9 Dibocorkan Ke Internet

Awal minggu ini, kod sumber iOS dikatakan telah dimuat naik ke laman github dan ia menimbulkan kerisauan sekiranya pengodam berjaya memanipulasi kod terbabit.

Dipercayai milik iOS 9, kod sumber itu dipanggil sebagai iBoot, salah satu arahan yang mengendalikan iPhone ketika ia hendak dihidupkan, dalam kata lain, ia melibatkan pemeriksaan sekuriti pertama yang dilakukan Apple.

Kapsyen: Sebahagian kod  sumber yang tertiris


Syarikat berpengkalan dari Cupertino itu sudah mengesahkan kesahihan kod sumber berkenaan dan menjelaskan ia berkait dengan perisian tiga tahun lepas.

"Kod sumber lama dari tiga tahun lalu nampaknya telah bocor, tetapi dengan reka bentuk keselamatan produk kami tidak bergantung pada kerahsiaan kod sumber.

Terdapat banyak lapisan perlindungan perkakasan dan perisian yang dibina ke dalam produk kami, dan kami sentiasa menggalakkan pelanggan mengemaskini kepada perisian terbaharu untuk mendapat manfaat daripada perlindungan terkini." ujar Apple kepada TechCrunch.

Identiti individu yang memuat naik kod sumber ke github masih belum dikenal pasti tetapi Apple sudah meminta laman itu untuk memadamkannya. Ia bukanlah kejadian baru kerana difahamkan, kod tersebut sudah dimuat naik lebih setahun yang lalu dilaman Reddit, cuma tidak disedari ramai.

Sumber: Motherboard dan TechCrunch