Inisiatif Klik Dengan Bijak (KDB) yang telah dilancarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sejak 2012 dahulu telah dinobatkan sebagai juara projek bagi Kategori 17: Ethical Dimensions of the Information Society oleh World Summit on the Information Society (WSIS) – WSIS Prizes 2020 anjuran Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) di Geneva, baru-baru ini.
Kejayaan tersebut sekaligus menjadi satu pengiktirafan besar kepada Malaysia, dan khususnya SKMM dalam usaha pihak Suruhanjaya itu membudayakan penggunaan Internet beretika di Malaysia.
Klik Dengan Bijak (KDB) merupakan inisiatif SKMM bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia agar menggunakan Internet secara bijak.
Ia bertujuan melahirkan pengguna yang celik terhadap teknologi dan kandungan media baru, mewujudkan sikap bertanggungjawab dalam kalangan pengguna Internet agar beretika dan prihatin sesama pengguna, menyedarkan pengguna Internet tentang kepentingan kawal selia kendiri dan mewujudkan persekitaran yang selamat semasa melayari Internet.
Sejak diperkenalkan lapan tahun lalu, KDB menumpukan terhadap tiga aspek utama iaitu Keselamatan, Kewaspadaan dan Tanggungjawab yang mana ia memberi penekanan kepada kawalan kendiri sebagai perlindungan daripada ancaman dalam talian.
Bagi menjayakan pelaksanaannya, pelbagai pihak berkepentingan berganding bahu menjayakan inisiatif KDB termasuk ibu bapa, penjaga, pendidik, komuniti setempat, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, serta pertubuhan antarabangsa.
Pengiktirafan WSIS terhadap inisiatif KDB ini adalah sesuatu yang cukup bermakna kepada seluruh rakyat Malaysia dan menyuntik semangat kepada SKMM serta rakan-rakan strategik yang berkaitan untuk terus mendidik rakyat Malaysia menjadi warga digital yang cemerlang dan berhemah tinggi.