KKMM Tiada Cadangan Untuk Kenakan Bayaran Perkhidmatan Bagi Pembelian Dalam Talian

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin baru-baru ini berkata, kerajaan sedang melihat kepada pengenalan caj perkhidmatan sebanyak 0.02% ke atas pembelian dalam talian. Ianya termasuk portal e-dagang seperti Lazada dan Shopee.

Caj perkhidmatan yang dikutip tersebut dikatakan akan diguna untuk penambahbaikan sistem keselamatan komunikasi untuk mengelakkan pencerobohan siber.

https://twitter.com/kkmm_gov/status/1303636739127308288

Terbaru, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) pada hari ini menjelaskan mengenai bayaran perkhidmatan yang dikatakan akan dikenakan kepada pengguna dalam platform e-dagang iaitu melalui pembelian dalam talian.

Menurut KKMM, belum ada perbincangan untuk mengenakan caj sebanyak 20 sen bagi pembelian di bawah RM1000 serta tambahan 20 sen bagi gandaan RM1000 berikutnya.