KKMM terbuka untuk syarikat lain bersaing dengan Astro

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bersifat terbuka kepada cadangan sekiranya terdapat syarikat yang berminat untuk bersaing dengan Astro bagi menyediakan perkhidmatan penyiaran televisyen berbayar di negara ini, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Eddin Syazlee Shith berkata kementeriannya bersedia memberi hak atau lesen Penyedia Perkhidmatan Aplikasi Kandungan Individu (CASP) kepada syarikat-syarikat yang berminat asalkan mereka mematuhi syarat-syarat tertentu.

Antara syarat itu adalah syarikat perlu ditubuhkan di Malaysia dengan modal berbayar sebanyak RM500,000.

"Cuma perlu dipertimbangkan kerana Astro telah diberi hak 25 tahun berdasarkan kepada pelaburan yang dibuat untuk memajukan teknologi bagi mendapatkan kandungan yang bagus seperti rancangan penyiaran HD yang merupakan antara yang terbaik di Asia Pasifik.

"Untuk syarikat seperti Astro ini perlu tempoh 23 tahun hanya untuk mendapatkan pulangan pelaburan. Ini adalah faktor yang perlu dipertimbangkan oleh syarikat baharu, ini bukan mudah. Faktor ini menjadi kekangan kerana memerlukan modal yang besar," katanya di Dewan Negara hari ini.

-- BERNAMA