KKMM Tak Pantau Mana-Mana Pihak Dalam Talian - Eddin Syazlee

KOTA BHARU, 11 Sept (Bernama) -- Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) mengesahkan tidak memantau mana-mana pihak secara dalam talian, kata Timbalan Menterinya Eddin Syazlee Shith.

Eddin Syazlee berkata ia selaras dengan dasar kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang lebih terbuka berbanding kerajaan terdahulu.

"Kita tak akan mengganggu provasi mana-mana pihak (yang aktif dalam talian) asalkan perkara tersebut dibuat mengikut landasan (undang-undang).

"(Tetapi) kalau ia dibuat bertentangan dengan undang-undang atau untuk menyebar fitnah atau untuk mencetuskan huru-hara maka kita akan menguatkuasakan undang-undang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Jamuan Rakyat bersempena Awal Muharram yang turut dihadiri Pengerusi PH Kelantan Senator Husam Musa di Kubang Kerian di sini, hari ini.

Semalam, akhbar melaporkan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendakwa bahawa media sosial milik beliau dan ayahandanya ‘diintip’ individu tertentu menggunakan teknologi buatan Israel.

Bagaimanapun, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan tidak mengintip akaun media sosial anggota keluarga Sultan Johor itu.

Sementara itu, dalam ucapannya Eddin Syazlee berkata agensi-agensi kerajaan di bawah KKMM harus menjadi mata dan telinga kepada kerajaan Persekutuan bagi membantu melicinkan pentadbiran negara.

"Agensi-agensi seperti Jabatan Penyiaan dan Jabatan Penerangan tidak mempunyai sebab untuk tidak memberikan kerjasama kepada sahabat-sahabat (parti komponen) dalam PH," katanya.

-- BERNAMA