KKMM: Pelaksanaan JENDELA Berada Di Landasan Tepat Untuk Capai Sasaran

Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Dato' Saifuddin Abdullah memaklumkan pelaksanaan JENDELA setakat ini telah mencapai kesemua sasaran suku kedua yang ditetapkan dan berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran seterusnya.

Menurutnya, Fasa 1 JENDELA sudah pun bermula dan akan berterusan sehingga 2022, dengan memberi fokus kepada usaha memperluaskan akses jalur lebar talian tetap berkelajuan gigabit kepada 7.5 juta premis, memperluaskan liputan jalur lebar mudah alih kepada 96.9% di kawasan berpenduduk dan mempertingkatkan kelajuan jalur lebar daripada 25Mbps kepada 35Mbps.

Selain itu, fasa ini turut melibatkan penamatan rangkaian 3G secara berperingkat sehingga akhir tahun 2021, bagi memantapkan rangkaian 4G dan memperkukuhkan rangkaian asas bagi 5G.

Seperti yang diketahui, pelaksanaan rangkaian 5G turut dipercepatkan setahun lebih awal daripada sasaran awal iaitu pada tahun 2022 kepada suku keempat 2021.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan pencapaian semasa JENDELA akan diumumkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam taklimat Laporan Suku Kedua JENDELA pada 7 April 2021.

Sumber: Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia