KKMM Peka Terhadap Isu Keselamatan Dan Risiko Pelaksanaan 5G

Teknologi 5G bukan hanya sekadar memberikan sambungan internet yang lebih pantas, dimana ia turut membuka lebih banyak peluangĀ  perkhidmatan dalam pelbagai bidang. Sebagai salah sebuah negara membangun, Malaysia juga tidak ketinggalan dalam perancangan rangkaian generasi kelima ini dimana projek rintis di beberapa buah lokasi sudah dijalankan.

Pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, melalui YB Gobind Singh Deo telah menyatakan kerajaan mengambil kira risiko serta isu keselamatan dari pelaksanaan 5G dalam negara.

Isu keselamatan sememangnya menjadi keutamaan dimana proses kenal pasti serta kajian sedang dijalankan pihak yang terlibat, bertujuan untuk mengurangkan sebarang risiko yang timbul.

Selain itu, bagi menjawab soalan tambahan dari ahli parlimen Baling berkenaan kesan buruk radiasi 5G terhadap kesihatan dan alam sekitar, YB Gobind memaklumkan ia akan diketahui selepas laporan projek rintis selama 6 bulan disiapkan.

Bagi meneliti setiap sudut perancangan teknologi 5G dalam negara, Pasukan Petugas Khas 5G telah ditubuhkan untuk memberi cadangan penyelesaian serta kawal selia melibatkan perlindungan pengguna.

Setakat 19 Jun lalu, pasukan tersebut telah dianggotai 110 organisasi termasuk wakil kerajaan, pihak swasta, lain-lain agensi termasuk ahli akademik.

Sumber: Bernama

Berkaitan