"Kjell Elvis" Cipta Rekod Dunia, Menyanyi Selama 50 Jam, 50 Minit dan 50 Saat

kjell elvis

Pada hari Sabtu yang lalu, seorang lelaki Norway telah mencipta rekod dunia baru dengan menyanyikan lagu-lagu Elvis Presley selama 50 jam, 50 minit dan 50 saat berturut-turut dalam pertandingan dalam talian. Kjell Henning Bjornstad, juga dikenali dengan nama pentasnya, "Kjell Elvis", telah menyelesaikan maraton nyanyian itu di sebuah pub di Oslo.

Menurutnya, beliau tidak akan melakukannya lagi setelah berjaya memecahkan rekod yang diakui oleh Guinness World Record. Persembahan beliau telah disiarkan oleh tabloid Oslo VG.

Bjornstad mula menyanyi pada hari Khamis pagi dan beralih antara duduk dan berjalan di atas pentas. Apabila beliau selesai menyanyi kesemua lagu Elvis, beliau mula menyanyi lagi.

Bjornstad yang sentiasa disajikan air panas dengan madu dan limau, telah diawasi oleh seorang pakar pemakanan dan pakar perubatan. Penyanyi itu dinasihati untuk mengurangkan pengambilan kopi dan sebaliknya bergantung kepada smoothie, buah, dan bar tenaga untuk mengekalkan suaranya.

"Kjell Elvis" dibolehkan berehat lima minit setiap jam. Sebelum ini pada tahun 2004, penyanyi German, Thomas "Curtis" Gaethje telah menetapkan rekod maraton nyanyian Elvis Preseley selama 43 jam, 11 minit dan 11 saat.


Menariknya, ini bukan kali pertama penyanyi Norway ini mencipta rekod. Pada tahun 2003, Bjornstad pernah menyanyi selama 26 jam tanpa henti. Pengurus Bjornstad, Helge Johansen berkata 'An American Trilogy' dan 'Teddy Bear' adalah lagu-lagu kegemaran Bjornstad.

Selain dikenali sebagai "The King", penyanyi dan juga pelakon, Elvis Presley juga digelar salah seorang daripada ikon budaya abad ke-20. Bukan itu sahaja, Elvis Presley juga mempunyai lebih 20 lagu hit nombor satu, pernah memenangi album emas lebih daripada orang lain, dan menjual lebih 146 juta album seluruh dunia, menurut Recording Industry Association of America.

Untuk makluman, sumbangan yang diterima dari maraton nyanyian "Kjell Elvis" itu akan digunakan sebagai dana kepada sebuah hospital yang menempatkan pelarian di Myanmar.

Sumber: The Star





Berkaitan