Kisah sebenar di sebalik filem ‘The Conjuring’, iaitu kisah keluarga Perron dan gangguan di Enfield lebih menakutkan dari filem itu sendiri.
Ramai penonton menganggap filem tersebut hanyalah rekaan dan imaginasi James Wan, pengarah filem itu semata-mata. Namun, sebetulnya ia adalah kisah benar berdasarkan pengalaman menyeramkan oleh Ed dan Lorraine Warren.

Ed Warren merupakan seorang veteran Perang Dunia II dan juga bekas pegawai polis yang kemudiannya menjadi ahli demonologi setelah mempelajari subjek itu sendiri. Isterinya, Lorraine, dipercayai adalah pengawal dan perantara yang mampu berkomunikasi dengan syaitan yang ditemui Ed.
Pada tahun 1952, pasangan Warren telah mengasaskan New England Society for Psychic Research, persatuan pemburu hantu tertua di New England. Mereka mula mendapat penghormatan sebagai penyiasat paranormal setelah penyiasatan awal mereka mengenai kejadian di Amityville.
Dua kes mereka yang terkenal telah diadaptasikan dalam francais The Conjuring, yang menampilkan pengalaman mereka membantu dua keluarga yang diganggu syaitan.
Walaupun jalan penceritaan filem-filem itu agak dramatik dan susah untuk dipercayai, pasangan Warren berkata semua peristiwa yang digambarkan benar-benar berlaku.
Ed yang telah meninggal pada tahun 2006, menjadikan Lorraine sebagai perunding dalam filem itu. Beliau mendakwa bahawa beliau sentiasa memastikan pihak produksi tidak mempamerkan aksi yang berlebih-lebihan.
Kisah Sebenar Keluarga Perron

Filem The Conjuring bermula dengan kisah keluarga Perron yang baru berpindah ke sebuah rumah ladang 14 bilik di Harrisville, Rhode Island pada bulan Januari 1971. Tidak lama kemudian, Carolyn, Roger, dan lima anak perempuan mereka mula merasakan perkara-perkara aneh yang berlaku di rumah itu.
Pada awalnya, perkara yang terjadi tidaklah begitu teruk. Carolyn mendapati penyapu mula hilang, atau beralih dengan sendiri dari satu tempat ke tempat yang lain. Dia juga mendengar bunyi geseran pada cerek di dapur apabila tiada siapa pun berada di situ. Malah, dia juga menemukan kotoran-kotoran di lantai dapur sedangkan lantai tersebut baru sahaja dibersihkan.

Anak-anak perempuan mereka pula mula merasakan kehadiran entiti-entiti jahat di dalam rumah, walaupun pada umumnya, mereka tidak berbahaya. Namun begitu, ada juga beberapa entiti yang marah.
Setelah membuat beberapa kajian, Carolyn mendapati rumah tersebut telah didiami oleh keluarga yang sama selama lapan generasi dan kebanyakan dari mereka telah mati secara misteri atau mengerikan. Ada beberapa kanak-kanak yang telah mati lemas di anak sungai berdekatan, seorang dibunuh, dan beberapa dari mereka telah menggantung diri di loteng.

Gangguan di Enfield
Enam tahun selepas kes keluarga Perron, sebuah keluarga lain di Enfield, England mula mengalami kejadian yang sama.
Pada bulan Ogos 1977, keluarga Hodgson mula melihat dan mendengar perkara-perkara aneh. Janet, yang berusia 11 tahun ketika itu, menceritakan pernah melihat almarinya meluncur ke seberang bilik yang dikongsi bersama abangnya.

Kemudian keluarga itu mula mendengar ketukan yagn datang dari pelbagai tempat di rumah mereka. Berfikir rumah mereka dimasuki pencuri, ibunya telah memanggil polis untuk menyiasat. Dilaporkan pegawai yang tiba telah menyaksikan sebuah kerusi terangkat dan bergerak sendiri melintasi lantai.
Alat mainan lego dan guli juga dipercayai berterbangan dan berasa panas apabila disentuh. Pakaian yang telah dilipat di atas meja melonjak dan terbang melintasi ruangan tersebut. Suara anjing menyalak juga kedengaran di bilik kosong, lampu berkelip, syiling keluar entah dari mana, serta perabot berputar atau terbalik tanpa disentuh.

Kemudian, pada suatu hari, perapian besi di bilik tidur di tingkat atas dirobek keluar dari dinding, Setelah itu, para penyiasat paranormal dari seluruh dunia mula muncul untuk cuba berhubung dengan entiti-entiti tersebut namun kebanyakan dari mereka mengatakan semua hanyalah rekaan.
Tetapi tidak sama seperti pasangan Warren. Mereka datang dan terus mengatakan bahawa ada kehadiran iblis. Namun, dakwaan mereka diabaikan kerana orang ramai mula menuduh Ed Warren membesar-besarkan cerita.
Di sinilah jalan ceritanya berbeza dengan filem kerana tidak ada pun sesi seperti eksorsisme dari pasangan Warren. Kemudian pada tahun 1979, gangguan-gangguan tersebut tiba-tiba berhenti, walaupun keluarga tersebut menyatakan mereka tidak melakukan apa-apa untuk menghentikannya.
Sumber: ATI