Kirin 990 Diumumkan, Hadir Dengan Integrasi 5G

Pada acara IFA 2019 yang berlangsung hari ini, Huawei telah mengumumkan cip pemprosesan mereka, Kirin 990. Bakal menguasakan peranti-peranti kelas tinggi Huawei akan datang, ia hadir dengan integrasi 5G.

Cip pemprosesan 7nm ini dikatakan bakal memberikan kelajuan muat turun maksimum sehingga 2.3Gbps dan muat naik 1.25Gbps.


Sepertimana cip Exynos 980 yang diumumkan semalam, integrasi 5G pada Kirin 990 mampu menjimatkan ruang disamping memberikan kuasa yang lebih efisien kepada peranti berbanding mempunyai pemproses dan modem secara berasingan.

Cip ini juga tidak menyokong mmWave5G dimana pengeluar menyatakan teknologi itu tidak disertakan oleh kerana kebiasaannya ia digunakan di Amerika Syarikat. Atas alasan itu, Huawei akan menumpukan kepada sub-6Ghz yang digunakan lebih meluas diserata dunia.

Peranti terawal yang akan dikuasakan Kirin 990 adalah siri Mate 30 yang mana pelancarannya akan berlangsung tidak lama lagi.