Kirin 980 Mungkin Jadi Cip 7nm Pertama Dipasang Pada Telefon Pintar

Acara IFA 2018 Berlin dijadualkan berlangsung pada 31 Ogos hingga 5 September hadapan.

Pada acara teknologi tersebut, Huawei dijangka akan memperkenalkan siri Mate terbaru iaitu Huawei Mate 20 dan Huawei Mate 20 Pro.

Disamping itu, kedua-duanya dilapor bakal dipacu dengan cip pemprosesan Kirin 980 dan ia mungkin cip 7nm pertama yang dipasang telefon pintar untuk pasaran dunia.

Menguatkan lagi perkara itu adalah kenyataan yang dikeluarkan oleh Richard Yu, Ketua Pegawai Eksekutif Huawei pada satu acara tertutup. Yu mendedahkan, Kirin 980 akan menjadi cip pertama dibangunkan dengan teknologi 7nm, seterusnya menjadi yang terawal untuk dilancarkan dipasaran.

Ia adalah hasil kerjasama dengan TSMC dan merupakan cip 8-teras, selain mempunyai kelajuan maksimum sehingga 2.8GHz serta dilengkapi dengan teknologi AI yang dipertingkatkan daripada Kirin 970.

Turut dikhabarkan kelajuan maksimum muat turun mampu mencapai 1.6Gbps. Selain itu, pemprosesan grafik juga akan berlainan dengan kehadiran teknologi GPU Turbo.

Berkenaan dengan cip pemprosesan 7nm, Samsung dan Qualcomm juga dilaporkan sudah berjaya membinanya tetapi pelancaran mungkin berlangsung pada penghujung atau sekitar 2019.

Tidak cukup dengan itu, kedua-duanya juga dikhabarkan sudah mula berusaha untuk membangunkan cip 5nm pula.

Sumber: BGR