Kirin 1020 Dikatakan Hampir 50% Lebih Prestasi Berbanding Kirin 990 5G

Menjelang tahun 2020, kita boleh mengagak sedikit sebanyak kelengkapan terbaik yang bakal hadir pada telefon pintar. Qualcomm sedia mengumumkan cip pemproses terbaru mereka, Snapdragon 865 dan kini khabar angin mengenai cip pesaing mula kedengaran. Disebut-sebut sebagai Kirin 1020, cip pemproses akan datang dari Huwaei ini digambarkan dengan prestasi jauh lebih baik dari cip sedia ada, Kirin 990 5G. Perkara ini mula didedahkan di Twitter oleh @RODENT950, dimana cip tersebut menawarkan peningkatan prestasi hampir 50% jika dibandingkan dengan cip sebelumnya.


Turut sama dinyatakan adalah Kirin 1020 akan dibangunkan dengan proses 5nm EUV selain menggunakan teras ARM Cortex-A77. Jika cip sebelum ini iaitu Kirin 990 diperkenalkan dengan dua versi sokongan rangkaian, penawaran Kirin 1020 mungkin terhad kepada 5G sahaja. Sepertimana Kirin 990 5G diintegrasikan dengan modem Balong 5000, kita boleh menjangkakan Kirin 1020 akan hadir serupa tetapi dengan modem generasi baru.

Sepertimana Kirin 990 hadir pada siri Mate 30, cip pemproses Kirin 1020 diramal tampil pada siri Mate 40 akan datang. Terdapat juga spekulasi menyatakan Kirin 1020 mungkin dipasarkan dengan nama Kirin 1000.

Dalam pada itu, kicauan turut menyelitkan perkhabaran mengenai cip kelas pertengahan Kirin 820. Dibayangkan sebagai pengganti Kirin 810, ia turut dibangunkan integrasi modem 5G dan peranti terawal adalah antara Nova 7 atau 10X.

Walaubagaimanapun, perlu diingatkan bahawa ini hanyalah informasi awal berdasarkan khabar angin yang bertiup ketika ini. Memasuki tahun 2020, kita pasti akan dihidangkan dengan lebih maklumat mengenainya.

Sumber: Wccftech