Kiriman Tweet PlayStation Russia Cetus Tanda Tanya Kepada Peminat

Ura-ura berkenaan konsol PlayStation 5 telah beberapa kali kedengaran sepanjang tahun ini. Bagaimanapun, ura-ura berkenaan seperti tidak mahu dilayan oleh pihak Sony apabila mereka jarang sekali mengeluarkan kenyataan berkenaan PS5. Malah, mereka tidak menyebut langsung berkenaan konsol baru semasa acara E3 2018 baru-baru ini.

Namun, satu kiriman tweet yang dibuat oleh akaun rasmi PlayStation Russia @PlayStationRU telah menimbulkan persoalan di kalangan peminat-peminat PlayStation.

https://twitter.com/PlayStationRU/status/1014138300691505152

Kiriman yang dibuat dalam bahasa Russia itu memberi maksud 'Bersedialah'. Ia juga disertakan sebuah imej yang kelihatan seperti konsol PlayStation 4 Pro dengan simbol X gergasi di sebelahnya. Kiriman ini telah dibuat beberapa hari yang lepas namun mula menjadi tular sejak semalam(5 Jun).

Perkara ini telah menyebabkan peminat-peminat PlayStation memberi tekaan mereka sendiri tentang apa yang cuba disampaikan melalui kiriman berkenaan. Antara tekaan yang popular semestinya ia merupakan satu iklan acah bagi konsol Playstation 5.

Ramai yang berpendapat bahawa Sony tidak mahu ketinggalan dengan pesaing utama mereka iaitu Microsoft. Ini kerana Microsoft sebelum ini telah mengesahkan bahawa konsol generasi seterusnya bagi Xbox sedang dibangunkan dan bakal dilancarkan pada tahun 2020.



Walaubagaimanapun, terdapat juga satu dakwaan bahawa Sony akan membenarkan permainan PlayStation One dimainkan pada konsol PS4. Dakwaan ini agak kukuh berdasarkan kewujudan simbol X pada imej yang disertakan kiriman berkenaan kerana PS One juga dikenali sebagai PSX.

Satu lagi kemungkinan kurang popular berkenaan perkara ini ialah kiriman tersebut merupakan promosi bagi acara PSX 2018 yang akan berlangsung Disember ini. Jika benar, ianya pasti  akan mengecewakan para peminat PlayStation. Sama-sama kita nantikan kenyataan lanjut dari pihak Sony sendiri berkenaan perkara ini.

Sumber