Keyakinan Pengguna Terhadap 7 Syarikat Teknologi Berpengaruh Ini Terus Menurun

Lebih daripada 40% pengguna kini tidak lagi percaya dan yakin terhadap syarikat-syarikat gergasi teknologi ini dalam menjaga data privasi pengguna.


Sebuah laporan tentang tahap keyakinan pengguna terhadap 7 syarikat teknologi berpengaruh ketika ini telah dikeluarkan baru-baru ini.

Laporan oleh tresorit ini adalah hasil daripada kaji selidik yang dijalankan oleh YouGov terhadap 2307 responden dari United Kingdom dan 1273 responden dari Amerika Syarikat yang berumur dari 18 tahun ke atas yang telah mengambil bahagian dalam kaji selidik tersebut.

Daripada kaji selidik itu, didapati lebih daripada 40% responden tidak lagi percaya dan yakin terhadap syarikat teknologi seperti Amazon, Google, Facebook, Instagram dan Apple dalam mengurus dan menjaga data peribadi mereka mengikut undang-undang.

Sementara 2/3 daripadanya pula merasakan data peribadi mereka yang berada di dalam platfom media sosial adalah berisiko diceroboh oleh penggodam.

Kapsyen: Kredit carta: tresorit


Isu-isu pencerobohan data yang telah berlaku sebelum ini sepertimana 50 juta akaun pengguna Facebook telah digodam pada September tahun lepas serta kebocoran data peribadi pengguna akaun Google+ akibat pepijat adalah antara penyebab utama keyakinan pengguna menurun terhadap syarikat-syarikat gergasi ini.

Malah isu terbaru yang membabitkan pengguna akaun Instagram juga memburukkan lagi keadaan, seterusnya meletakkan Instagram sebagai platfom yang paling tidak diyakini pengguna.



Sungguhpun ramai responden tidak lagi yakin terhadap syarikat-syarikat tersebut, tetapi 50% daripadanya bersetuju bahawa ciri teknologi E2E (End-to-end encryption) mampu melindungi data privasi digital mereka.

Malah hasil kaji selidik itu juga mendapati hampir separuh daripada responden di UK telah pun mengaplikasikan teknologi pengikripan data dalam servis mesej mereka seperti e-mel, perkongsian fail serta storan atas talian.

Jadi, bagaimana pula dengan pengguna di Malaysia? Adakah anda ambil peduli terhadap data privasi peribadi anda yang dipegang oleh syarikat-syarikat tersebut?