Ketika Broadcom Sedang Membeli Qualcomm, Intel Menyatakan Minat Terhadap Broadcom

Intel yang sinonim dengan cip pemprosesan komputer dan pelayan dikatakan sedang berkira untuk mendapatkan sebuah lagi syarikat yang juga mengeluarkan cip untuk kegunaan modul WiFi, Bluetooth dan IoT, Broadcom.



Ini membangkitkan beberapa perkara kerana Broadcom juga sudah membida untuk membeli kepentingan di dalam satu lagi syarikat pembuat cip, Qualcomm. Intel dikatakan bimbang jika Broadcom berjaya dalam bidaanya terhadap Qualcomm dan impak syarikat itu terhadap pasaran cip pengguna.



Intel telah menimbang pemilikan Broadcom dari tahun lepas lagi dan sedang meneliti segala kemungkinan dari penasihat-penasihat mereka. Bidaan Broadcom terhadap Qualcom adalah terbesar dalam industri semikonduktor setakat ini dan bidaan lebih besar diperlukan bagi mendapatkan Broadcom yang baharu.



Sementara itu, Qualcomm sudah menolak bidaan Broadcom sebanyak Rm 473 bilion pada bulan lepas. Kerajaan Amerika Syarikat melalui Jawatankuasa terhadap Pelaburan Asing di Amerika Syarikat sedang memantau perkembangan bidaan tersebut kerana bimbang pemilikan asing terhadap syarikat tempatan mereka boleh mengundang isu keselamatan negara.

Perkara ini jelas apabila Huawei tidak dapat bekerjasama dengan syarikat penyedia telekomunikasi Amerika Syarikat kerana bimbang kebocoran data rakyat mereka.

Jika Broadcom berjaya dalam bidaan mereka dan Intel pula berjaya dalam bidaanya, syarikat seperti Apple akan mendapatkan bekalan komponen mereka terutamanya cip modem untuk iPhone mereka dari pembekal tunggal.