Ketahui Sejarah Permainan Battle Royale Seperti PUBG, Fortnite & H1Z1

Pada hari ini, boleh dikatakan sebahagian besar anak muda yang memiliki telefon pintar bermain atau pernah bermain permainan genre battle royale seperti PUBG Mobile, Fortnite dan Free Fire.

Namun, dari mana datangnya idea untuk menghasilkan permainan ini? Ia merupakan satu idea yang bernas sehingga permainan jenis ini mempunyai jutaan pemain harian ketika ini.

Novel Jepun Hasil Karya Koushun Takami


Menurut laman The Loot Gaming, idea untuk menghasilkan permainan sebegini datang dari sebuah novel Jepun yang bertajuk "Battle Royale" itu sendiri.

Kapsyen: Yousense


Hasil karya Koushun Takami yang diterbitkan pada tahun 1999 itu mengisahkan tentang 40  orang pelajar universiti yang diculik dan ditinggalkan di sebuah pulau selama tiga hari.

Mereka dibekalkan dengan barangan seperti air, ubat-ubatan, peta, kompas dan senjata. Semua pelajar tersebut berbunuhan sesama mereka untuk menjadi orang yang terakhir hidup selepas tiga hari itu berakhir.

Novel ini kemudiannya diadaptasi menjadi manga dan filem di mana kedua-duanya telah berjaya terjual dengan lakunya.

Brendan Greene @ Player Unknown


Kapsyen: Brendan Greene(Mashable)


Brendan Greene atau nama dalam permainannya, Player Unknown adalah insan yang bertanggungjawab membangunkan permainan battle royale sehingga ke tahap populariti sekarang.

Beliau tertarik dengan mod Survivor Game Z bagi permainan DayZ pada tahun 2013 di mana ia mengambil konsep dari novel Battle Royale dan juga filem barat popular, The Hunger Games.

Kemudian, beliau membangunkan modnya sendiri bagi permainan Arma 2 dan juga Arma 3.

https://youtu.be/Q00HNrE3faI

Selepas itu, Greene telah bersetuju untuk memberi lesen kepada pihak Daybreak untuk menghasilkan permainan mandiri berkonsep battle royale pertama H1Z1: King of the Kill dan ianya berjaya menarik minat ramai.
*Bagaimanapun, ada beberapa pihak yang mempersoalkan dan kurang bersetuju dengan dakwaan Greene bahawa beliaulah yang mencipta permainan berkonsep battle royale ini.

Blue Hole Studio & PUBG


Melihat kepada kejayaan itu, penerbit dari syarikat Blue Hole Studio yang berasal dari Korea Selatan, Kim Chang-Han telah menghubungi Greene untuk mengajaknya bekerjasama.

Kapsyen: Kim & Greene(Korea Herald)


Hasil dari kerjasama inilah munculnya permainan popular hari ini, PlayerUnknown's Battleground(PUBG). Kini, ia muncul sebagai antara permainan video paling laris terjual sepanjang zaman.

Selepas daripada itulah muncul beberapa permainan video dengan konsep sama seperti Fortnite, Free Fire dan yang terkini Apex Legends.

Mungkin ada yang mendakwa Fortnite telah dibangunkan dahulu sebelum PUBG, namun sebenarnya ujian beta bagi PUBG telah tersedia pada bulan Mac 2017 manakala Fortnite hanya dilancarkan pada Julai tahun yang sama.

Tidak kiralah permainan battle royale yang mana menjadi pilihan hati, nikmatilah mereka sementara ia masih menjadi trend sebagai mana anda menikmati Angry Birds, Clash of Clans mahupun Snake satu masa dahulu.

 

Sumber: Kaskus   The Loot Gaming   Digital Trends

Berkaitan