Ketahui Pandangan Wiser Berkenaan Permainan Video Cetak Rompak

Pada hari ini, permainan video dilihat semakin diterima baik oleh pelbagai pihak termasuk golongan ibu bapa. Jika dulu bermain permainan video dianggap perkara yang sia-sia, hari ini ia mampu memberi pendapatan yang lumayan kepada seseorang pemain, bukan sahaja kepada pembangun permainan.

Bagaimanapun, harga sesebuah permainan video hari ini tidaklah begitu murah. Ia berikutan kos untuk menghasilkan sesebuah permainan berkualiti tinggi semakin meningkat bagi sesebuah syarikat pengeluar permainan.



Perkara ini telah menyumbang kepada peningkatan penghasilan dan penggunaan permainan video cetak rompak yang boleh didapati dengan harga yang jauh lebih murah. Malah, sesetengah permainan cetak rompak itu boleh didapati dengan percuma.

Seperti kita tahu, gejala ini mampu memberi kesan buruk kepada pengeluar jika dibiarkan berpanjangan. Akan tetapi, untuk berlaku adil, gejala ini juga boleh dikatakan membawa sedikit kebaikan bukan sahaja kepada pemain, malah kepada pengeluar konsol.

Antaranya ialah para pemain akan dapat mencuba lebih banyak permainan video. Ini kerana sekiranya permainan itu boleh dibeli dengan harga yang rendah, pemain tidak akan tertumpu kepada permainan kegemaran mereka sahaja.



Selain itu, pengeluar konsol juga secara tidak langsung akan menerima tempias positif daripada harga permainan video yang lebih murah yang ditawarkan oleh permainan cetak rompak ini. Sekiranya permainan video dijual dengan lebih murah, orang ramai pastinya akan lebih tertarik untuk memiliki sesebuah konsol permainan itu.

Namun, ia tidak bermakna kami menyokong gejala permainan video cetak rompak ini. Kami di pihak Wiser menentang sekeras-kerasnya segala aktiviti yang melibatkan gejala cetak rompak termasuklah permainan video.



Ini kerana seperti yang kami tegaskan lebih awal tadi, ia akan memberi kesan yang sangat buruk kepada pengeluar permainan video. Mereka tidak akan dapat memperolehi pulangan yang diharapkan atas segala usaha keras mereka dalam menghasilkan sesebuah permainan itu.

Maka, cetak rompak bukan sahaja akan mempengaruhi jumlah pendapatan dari segi kewangan, malah moral mereka yang terlibat juga pasti akan terjejas.



Tambahan pula, sekiranya anda menggunakan perisian permainan cetak rompak, anda tidak akan dapat menikmati keseluruhan permainan berkenaan. Pada kebiasaannya, permainan cetak rompak tidak akan membenarkan pemain untuk bermain secara atas talian.

Bukan itu sahaja, kesan yang lebih teruk mungkin akan berlaku jika anda memuat turun perisian tersebut sendiri. Ini kerana risiko untuk anda melawati laman sesawang atau memuat turun data perisian yang mempunyai virus adalah sangat besar.



Oleh itu, kami berharap agar kita sama-sama menyokong pihak kerajaan dan pembangun permainan video dalam membanteras gejala cetak rompak yang sedang menular ketika ini. Pada pendapat kami, biarlah kita mengeluarkan belanja yang lebih sedikit asalkan dapat menikmati kepuasan maksima semasa bermain permainan kegemaran kita. Disamping itu, secara tidak langsung, ia membantu pihak pengeluar untuk terus menghasilkan permainan yang berkualiti pada masa akan datang.