Ketahui Cara Menghadapi Panggilan Palsu Sebelum Anda Menjadi Mangsa Seterusnya!

Pada zaman teknologi yang serba canggih ini, makin ramai penjenayah mengambil kesempatan melakukan perbuatan jahat melalui panggilan palsu. Terdapat peningkatan ketara bagi jumlah aduan dan rungutan daripada pengguna peranti telefon pintar mengenai spam dan panggilan palsu yang mereka terima. Antara panggilan palsu yang sering diterima adalah panggilan dari pihak bank atau pihak berkuasa dan meminta kita bertindak dengan segera sebelum dikenakan tindakan undang-undang.



Sebelum anda semua terjerat dalam sindiket penipuan ni, anda haruslah mengambil langkah berjaga-jaga dengan melengkapi diri dengan pengetahuan tentang bagaimana panggilan palsu ini dilakukan.

Pada mulanya, memang agak sukar untuk anda membezakan panggilan yang benar atau palsu. Anda berhak untuk mencurigai panggilan yang diterima jika si pemanggil mula bertanya anda mengenai salah satu perkara di bawah

  • Meminta data peribadi seperti nombor kad pengenalan atau kad kredit untuk mengesahkan identiti anda.

  • Mengarahkan anda untuk menghubungi mereka semula ke nombor yang berlainan dan bukannya nombor yang terpapar di ID pemanggil.

  • Memaklumkan bahawa anda telah memenangi hadiah, pertandingan, atau barang berharga tetapi anda perlu memberikan maklumat akaun bank atau membuat pembayaran untuk memudahkan proses tuntutan.

  • Memaklumkan bahawa anda mempunyai bayaran tertunggak atau saman yang anda perlu bayar pada hari yang sama untuk mengelakkan tindakan undang-undang.

  • Meminta anda mengesahkan kod PIN yang dihantarkan ke telefon anda walaupun anda tidak melakukan sebarang kemas kini akaun, servis, atau profil.


 

Seterusnya, ini adalah langkah yang anda boleh lakukan jika menerima panggilan mencurigakan

  • Jangan sekali-kali mendedahkan butiran peribadi atau butiran dari mana-mana akaun anda kepada orang lain walaupun atas tujuan untuk mengesahkan identiti

  • Tanya nama dan jawatan mereka, termasuk nama organisasi mereka yang lengkap

  • Jika anda yakin bahawa ia adalah panggilan palsu, buat laporan polis dan sediakan rakaman telefon atau sebarang nota yang telah anda catat untuk memudahkan siasatan pihak polis.


Cara yang paling mudah untuk menangani panggilan yang tidak dikenali atau panggilan palsu adalah dengan tidak menjawab panggilan tersebut! Dengan tidak menjawab panggilan nombor yang bukan dalam senarai buku telefon anda, anda telah pun menyelesaikan sebahagian daripada masalah tersebut.

 



[embed]https://www.youtube.com/watch?v=6FHSu-gfytA[/embed]

Nasihat kami jika anda ragu-ragu ketika menerima panggilan yang tak dikenali, anda disarankan untuk memuat turun aplikasi True Caller atau anda boleh lihat seperti dalam video.

Akhir kata, sediakan payung sebelum hujan. Kita perlu sentiasa peka tentang berita sindiket penipuan terkini dan beri perhatian terhadap pesanan khidmat masyarakat atau makluman daripada pihak penyedia perkhidmatan. Semoga perkongsian ini bermanfaat :)

 

Sumber

Berkaitan