Ketagihan Bermain Permainan Video Merupakan Satu Penyakit - WHO

Ramai di antara kita yang menganggap bermian permainan video selama 5 ke 6 jam sehari itu adalah normal. Namun pada hakikatnya, ia mungkin tidak. Menurut laporan CBC, ketagihan untuk bermain permainan video kini adalah merupakan salah satu masalah kesihatan. Perkara ini disahkan oleh Lisa Pont, pekerja sosial di Pusat Ketagihan dan Kesihatan Mental di Toronto.

Beliau berkata, pihak Organisasi Kesihatan Dunia (WHO) telah mengambil keputusan untuk mengumumkan ketagihan bermain permainan video ini sebagai satu wabak penyakit dalam draf Klasifikasi Penyakit Antarabangsa (ICD) bagi semakan ke-11 pada awal tahun ini. Ketagihan ini dijangka akan diumumkan sebagai masalah kesihatan terbaru secara rasmi oleh WHO dalam masa dua bulan lagi.



Bagi seseorang manusia untuk disahkan sebagai seorang penghidap penyakit ini, gaya kehidupan mereka perlu dinilai selama lebih kurang 12 bulan oleh kenalan terdekat seperti keluarga, saudara-mara atau rakan-rakan.

Sekiranya seseorang itu akan memberi keutamaan untuk bermain permainan video berbanding perkara lain seperti kurangnya masa pergaulan, melakukan riadah atau lebih teruk lagi sehingga mengabaikan tahap kesihatan diri  sebagai contoh, tidak tidur atau makan dan minum, maka mereka perlulah di bawa untuk melalukan pemeriksaan kesihatan.

 



Menurut Prof. Jeffrey Derevensky, pensyarah Universiti McGill, Kanada yang terlibat secara langsung bersama WHO dalam perkara ini memberitahu, beliau menerima sekurang-kurangnya satu panggilan telefon daripada ibu bapa kepada kanak-kanak atau remaja yang mempunyai masalah ketagihan kepada permainan video dalam setiap dua minggu. Ini menunjukkan masalah ini bukan lagi sesuatu yang boleh diambil ringan oleh semua pihak.

Sumber