Kerugian Cecah Ratusan Juta Ringgit, Satu Unit Khas Untuk Memerangi Jenayah Siber Akan Ditubuhkan

Kegiatan jenayah siber seperti penipuan dalam talian, kad kredit, kecurian identi dan pencerobohan data semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Malah, ia turut melibatkan kerugian sehingga sejumlah ratusan juta ringgit sejak dua tahun lepas.

Memandang serius perkara berkenaan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia(SKMM) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial(CCID) akan bekerjasama dalam memerangi gejala ini.

Setelah menjalankan perbincangan, kedua-dua pihak akan mempertimbangkan beberapa langkah penyelesaian yang yang terbaik berkaitan masalah ini. Antaranya membentuk satu unit atau jawatankuasa kerja(task force) yang terdiri daripada wakil SKMM, institusi kewangan dan syarikat-syarikat telco dalam masa terdekat.

Jumlah kerugian jenayah siber sejak 2017 - Oktober 2018 (Kredit : Facebook SKMM)


Ia bagi membolehkan perkongsian maklumat dapat dilakukan dengan lebih cepat dan maklum-balas segera mampu diberikan kepada orang ramai sekiranya elemen penipuan dikesan.

Selain itu, syarikat telco juga akan diminta untuk menaiktaraf sistem mereka supaya pihak polis dapat mengesan alamat Protokol Internet(IP) yang digunakan scammer atau penjenayah siber dengan lebih mudah.

Langkah lain yang turut dicadangkan ialah pendaftaran pelanggan prabayar. Ia bagi memastikan semua nombor yang aktif adalah sah dan mengandungi maklumat terkini pengguna. Ia bertujuan untuk mengeluarkan rekod pelanggan prabayar yang diragui atau phantom numbers. 

Kerjasama antara kedua belah pihak ini diharapkan akan dapat menyelesaikan masalah berkaitan jenayah siber ini dengan lebih berkesan di masa akan datang.

 

Kredit imej paparan : Facebook YB Gobind Singh Deo

Sumber : Facebook SKMM