Kereta Rosak Di Lebuhraya AKLEH, Guthrie, LKSA Atau SILK? Guna Aplikasi PROLINTAS Untuk Dapatkan Bantuan

Anda pernah menghadapi masalah kereta rosak di lebuhraya AKLEH, Guthrie, LKSA atau SILK? Sudah pasti perkara pertama yang anda lakukan adalah menghubungi ahli keluarga ataupun kenalan rapat.

Tapi bagaimana pula jika panggilan yang dibuat tidak berjawab? Jangan khuatir kerana syarikat pengelola lebuhraya terbabit, PROLINTAS, mempunyai aplikasi khusus untuk beri pertolongan kepada anda.



Aplikasi PROLINTAS telah diperkenalkan sejak bulan Julai yang lalu adalah satu platform komunikasi antara pihak peronda PROLINTAS bersama pengguna yang menghadapi masalah berkaitan kenderaan.

Mempunyai ciri Talian S.O.S, anda boleh mendapatkan bantuan dari pihak peronda PROLINTAS secara masa sebenar.

Isyarat kecemasan akan dihantar kepada pihak peronda yang kemudiannya mengesan lokasi semasa pengadu menerusi teknologi GPS.



Cara penggunaannya sangat mudah. Anda hanya perlu daftarkan nama, nombor telefon dan alamat e-mel. Maklumat ini semua diperlukan untuk memudahkan pihak PROLINTAS memberikan maklumbalas dan bantuan segera.

Selain itu terdapat juga paparan mengenai promosi serta aktiviti yang dijalankan di lebuhraya berkenaan.

Aplikasi PROLINTAS boleh dimuat turun pengguna iOS dan Android secara percuma.

 

Berkaitan