Kerajaan Negeri Selangor Akan Meneruskan e-Bazar Ramadhan

Kerajaan Persekutuan telah memutuskan sebarang konsep perniagaan berkaitan bazar atau gerai Ramadan sama ada dalam bentuk pandu lalu atau tempah dan ambil tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagaimanapun, kerajaan negeri Selangor tetap akan melaksanakan platform bazar Ramadan secara dalam talian (e-bazar) dengan memastikan ia mematuhi PKP.

[embed]https://www.youtube.com/watch?v=vV_bvsTVUxY[/embed]

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya akan memperincikan konsep e-bazar tersebut kerana operasinya adalah sama seperti kaedah menghantar makanan oleh syarikat e-panggilan ketika ini.

“Sebagai contoh, jika kedai makan boleh beroperasi menggunakan kaedah pesanan dan dihantar oleh syarikat penghantar makanan, mengapa konsep ini (e-bazar Ramadan Selangor) yang menggunakan kaedah sama tidak dibenarkan?" tambahnya lagi.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata menerusi konsep e-bazar Ramadan di Selangor, kerajaan negeri akan menyediakan pusat logistik untuk mengumpul juadah oleh peniaga berlesen sebelum ia dihantar ke rumah pembeli yang membuat pesanan menerusi aplikasi syarikat e-hailing sedia ada.

Dengan cara itu, kerajaan negeri dapat memantau tahap kebersihan peniaga e-bazar Ramadan tersebut dan memastikan mereka ada mengambil suntikan tifoid. Pembelian secara terus juga tidak dibenarkan kerana mahu mengekalkan penjarakan sosial.

Sumber: BERNAMA