Kerajaan Mengumumkan Pelaksanaan Makmal Infrastruktur Digital Negara

Makmal bagi perancangan pembangunan infrastruktur digital yang lebih menyeluruh.


Kerajaan menerusi Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Saifuddin Abdullah telah mengumumkan pelaksanaan Makmal Infrastruktur Digital Negara (Makmal) yang akan bermula dari 13 Julai sehingga 14 Ogos depan.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang akan bertindak sebagai pemudah cara untuk menghasilkan rangka kerja bagi pembangunan infrastruktur digital negara dan seterusnya menyelaras pelaksanaannya menyambut baik pengumuman tersebut.

SKMM dalam satu kenyataan media menyatakan bahawa pembabitan wakil-wakil daripada Kementerian, Jabatan dan Agensi serta pihak industri yang telah dikenal pasti juga akan turut sama membantu dalam perancangan infrastruktur digital yang lebih menyeluruh dengan mengambil kira maklum balas daripada semua pihak berkepentingan, selain mendapatkan kerjasama semua pihak berkaitan dalam usaha untuk menambah baik infrastruktur digital negara.

Namun begitu maklum balas daripada pihak industri ataupun agensi kerajaan yang tidak terlibat langsung juga dialu-alukan dan boleh dimajukan kepada SKMM.

Makmal mencerminkan komitmen Kerajaan dalam usaha mempertingkatkan kesalinghubungan digital negara, sekaligus mempersiapkan Malaysia dan rakyatnya untuk berhadapan dengan cabaran sosial dan ekonomi dengan asas infrastruktur digital yang kukuh, khususnya di pasca COVID-19.

Berkaitan