Kerajaan Mahu Laksana Tindakan Lebih Proaktif Bagi Membendung Jenayah Cetak Rompak Digital

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata pihak kerajaan mengakui bahawa tindakan lebih proaktif perlu dilaksanakan bagi membendung gejala cetak rompak digital di Malaysia ketika ini.

Ia perlu diambil bagi memastikan pengguna internet tempatan memandang serius isu ini kerana ia turut memberi kesan buruk kepada ekonomi negara.

Industri hiburan dan media tempatan telah merekodkan kehilangan pendapatan sejumlah RM1.05 bilion, kerajaan kehilangan kutipan cukai sebanyak RM157 juta dan lebih kurang 1900 orang telah kehilangan pekerjaan.

Kapsyen: SKMM


Beliau turut memberitahu bahawa sepanjang tahun 2018, pengguna internet Malaysia telah memuat turun 84 juta fail kandungan yang terdiri daripada filem dan rancangan TV dari BitTorrent.

Menurutnya lagi, sebuah kajian telah menunjukkan bahawa kunjungan ke laman sesawang dengan kandungan cetak rompak adalah dua kali lebih banyak daripada jumlah kunjungan ke laman sesawang yang mengandungi kandungan yang sah.

YB Gobind bercakap mengenai perkara ini semasa Sidang Kemuncak Anti Cetak Rompak Digital Kuala Lumpur pada 14 Februari. Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Al-Ishsal Ishak(gambar paparan) turut hadir dalam persidangan tersebut.

Sidang itu dianjurkan secara bersama oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Coalition Against Piracy(CAP) dan Asia Video Industry Association (AVIA).

Beberapa syarikat pengeluar kandungan dari tempatan seperti Astro Malaysia Holdings Bhd, Media Prima Bhd, dimsum dan iflix juga menyokong acara persidangan tersebut.

 

Sumber: BERNAMA    Facebook SKMM