Kerajaan Korea Selatan Beralih Dari Windows kepada Sistem Operasi Linux

Microsoft Windows makan modal...


Kerajaan Korea Selatan dijangka akan mula beralih daripada sistem operasi Windows kepada Linux secara berperingkat, menurut Kementerian Dalaman dan Keselamatan Korea baru-baru ini.

Kementerian itu berkata, mereka akan melakukan ujian awal terlebih dulu dengan menjalankan sistem operasi Linux pada komputer yang digunakan oleh kementerian tersebut sekarang.

Sekiranya didapati tiada sebarang isu berkaitan keselamatan timbul, Linux akan digunakan dengan lebih meluas oleh kerajaan Korea Selatan.

Keputusan tersebut dibuat di tengah-tengah kebimbangan kerajaan Korea mengenai kos yang terus meningkat jika mereka mengekalkan Windows sebagai sistem operasi komputer mereka.

Sebagai contoh, sokongan teknikal percuma oleh Microsoft untuk Windows 7 yang dijangka akan tamat dalam bulan Januari 2020 nanti.

Menurut kementerian itu, peralihan kepada sistem Linux serta pembelian komputer baru pula dijangka akan memakan kos perbelanjaan sebanyak 780 bilion won ($655 juta).

Sumber: The Korea Herald