Kerajaan Harus Berwaspada Terhadap Dron Yang Diterima Secara Percuma Dari A.S

Beberapa pihak tidak senang dengan penerimaan dron tersebut.


Kementerian Pertahanan Malaysia telah mengesahkan bahawa kerajaan Malaysia akan menerima 12 buah dron jenis ScanEagle dari kerajaan Amerika Syarikat secara percuma .Nilai 12 dron tersebut dianggarkan mencecah sehingga RM80 juta.

Kemeterian Pertahanan menjelaskan, pemerolehan dron-dron tersebut adalah dibiayai sepenuhnya oleh Amerika Syarika melalui program Maritime Security Initiative (MSI). Ia merupakan program yang dilaksanakan kerajaan Amerika bagi menyediakan bantuan dalam bentuk aset dan latihan kepada negara-negara sekutu dan rakan A.S, termasuklah Malaysia bagi membantu meningkatkan Maritime Domain Awareness (MDA) di rantau Asia Tenggara ini.

Mengulas lanjut penggunaan dron itu nanti, Kementerian Pertahanan menyatakan bahawa dron yang akan diterima secara berperingkat bermulan dari tahun 2019 hingga 2022 itu nanti akan dikendalikan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Dron-dron itu akan dapat membantu Malaysia dalam membuat pengawasan maritim, sementara Kementerian Pertahanan membuat perolehan dua Maritime Patrol Aircraft (MPA) dan tiga Medium Altitude Long Endurance Unmanned Airborne System (MALE UAS) yang akan disempurnakan dalam Rancangan Malaysia Ke Dua Belas (RMK-12) nanti.

Walaubagaimanapun, sesetengah pihak dilihat tidak begitu menyenangi dengan tindakan kerajaan Malaysia yang menerima dron percuma dari kerajaan A.S ini.

Kapsyen: Pesawat tanpa pemandu (UAV) ScanEagle. Kredit foto: Boeing


Antara yang menyuarakan kebimbangan berkenaan isu ini adalah Parti Sosialis Malaysia (PSM). Ini kerana menurut mereka, pemerolehan 12 dron ScanEagle secara percuma daripada kerajaan Amerika Syarikat telah menyebabkan Malaysia seolah-olah berkompromi dengan agenda imperialis Amerika.

PSM menegaskan, sebagai sebuah negara berdaulat, Malaysia seharusnya menjadi pemimpin bagi negara-negara berkecuali dan tidak memihak kepada kuasa-kuasa besar yang memang mempunyai agenda mereka sendiri.

Penyelidik daripada universiti awam Malaysia juga berpendapat, sebarang penerimaan peralatan berkaitan teknologi ketenteraan dari pihak asing perlulah dilakukan dengan lebih berhati-hati. Lebih-lebih lagi apabila peralatan tersebut diterima secara percuma.

Ini kerana ia dikhuatiri pemberi tersebut mungkin mempunyai niat tertentu yang lain.

Pesawat tanpa pemandu (UAV) atau dron ScanEagle ini dihasilkan oleh subsidiari Boeing, Insitu Inc. Berdasarkan data spesifikasi dron tersebut yang diperoleh dari laman boeing, dron ini mampu terbang selama lebih daripada 20 jam serta terbang setinggi 15 ribu kaki yang membolehkannya sesuai digunakan bagi menjalankan misi risikan, peninjauan dan pemantauan.

Selain Malaysia yang memperoleh 12 unit dron ini, beberapa buah negara lain yang berada di rantau Laut China Selatan juga turut terlibat dalam program Maritime Security Initiative (MSI) oleh A.S ini, termasuklah Indonesia, Filipina dan Vietnam.

Berkaitan