Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

Kerajaan Dilapor Pertimbang Kemungkinan Ambil Alih Syarikat Pembekal MyKad

Posted on Ogos 20, 2026Ogos 20, 2026

Kerajaan dilaporkan telah meminta harga indikatif bagi Datasonic Technologies Sdn Bhd (DTSB), syarikat yang terlibat dalam penyediaan MyKad, untuk kemungkinan pengambilalihan.

Memetik laporan Bernama, NexG Bhd berkata permintaan tersebut dibuat untuk mendapatkan harga indikatif bagi kemungkinan pengambilalihan DTSB. Bagaimanapun, setakat ini belum ada keputusan dibuat untuk meneruskan sebarang transaksi, mahupun wujud sebarang persetujuan dengan kerajaan.

“Sekiranya perkara itu berkembang melangkaui peringkat awal ini, lembaga ingin menekankan bahawa pertimbangan terhadap sebarang kemungkinan urus niaga akan dipandu oleh prinsip-prinsip berikut iaitu sebarang urus niaga yang berpotensi perlu berada pada nilai saksama yang mencerminkan nilai DTSB yang dianggarkan dengan betul; semua pemegang saham syarikat mesti dilayan secara sama rata dan mengikut terma yang sama; serta keselamatan dan kebolehoperasian SBDT perlu dipelihara oleh negara,” kata NexG.

Berdasarkan penilaian dalaman awal NexG, DTSB kini dianggarkan bernilai sekitar RM7.5 bilion. Namun, syarikat itu menegaskan bahawa angka tersebut bukan penilaian bebas, harga yang telah dipersetujui atau tawaran muktamad.

Mengulas lanjut, syarikat itu berkata DTSB merupakan perniagaan teras NexG dan penyumbang utama kepada hasil serta pendapatan kumpulan. Sekiranya perniagaan tersebut dilupuskan,kumpulan itu tidak lagi mempunyai perniagaan teras.

Untuk rekod, DTSB terlibat dalam perniagaan identiti nasional dan dokumen selamat, termasuk sebagai pembekal MyKad sejak 1999. Sejak 2012, syarikat itu turut menjadi vendor pasport Malaysia yang mematuhi piawaian Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

Selain itu, DTSB kini turut terlibat dalam pembekalan MyKad, MyTentera dan MyPOCA berstruktur baharu dengan komitmen pembekalan yang melibatkan tempoh berbilang tahun.

Menurut NexG, keupayaan DTSB merangkumi keseluruhan proses daripada reka bentuk dan pembuatan dokumen selamat sehingga pengesahan biometrik. Teknologinya turut merangkumi sistem e-pasport serta penggunaan biometrik multimodal dan pengecaman wajah.

“Untuk program identiti nasional semasa, DTSB telah membuat pelaburan kira-kira RM1.9 bilion dalam sumber manusia, peralatan, naik taraf sistem dan dua kilang pembuatan di Petaling Jaya serta Meru (Klang),” kata syarikat itu.

DTSB juga sedang membangunkan ekosistem digital modular atau “SuperApp”, termasuk platform pengesahan identiti QR biometrik yang boleh dikomersialkan kepada bank, peniaga dan institusi lain. Pada masa sama, syarikat itu turut membangunkan SALUR, iaitu e-dompet kerajaan yang direka untuk membolehkan subsidi yang disasarkan, bantuan atau manfaat lain diagihkan secara digital.

Memandangkan DTSB merupakan perniagaan teras NexG, sebarang pelupusan juga tertakluk kepada keperluan penyenaraian Pasaran Utama, termasuk kelulusan pemegang saham melalui mesyuarat agung luar biasa.

Buat masa ini, NexG berkata lembaga pengarah akan memberikan pertimbangan sewajarnya terhadap permintaan kerajaan dan menyediakan penilaian indikatif seperti yang diminta. Sebarang perkembangan penting berkaitan perkara itu akan diumumkan kemudian.

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2026 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress