Kepada Pengguna Mac, Anda Disyorkan Menangguh Dulu Naik Taraf Kepada Catalina

Berikutan pelbagai laporan isu aplikasi 32bit yang tidak dapat digunakan pada versi macOS terbaru itu.


Jika anda adalah pengguna komputer Apple Macintosh dan masih belum menaik taraf kepada versi terbaru macOS iaitu macOS Catalina 10.15 yang dilepaskan Apple pada minggu lalu, anda disyorkan supaya menangguhkan dulu naik taraf kepada versi macOS tersebut.

Ini berikutan daripada isu aplikasi-aplikasi 32 bit yang tidak lagi boleh diaktifkan pada macOS tersebut. Kepada yang mungkin belum sedia maklum, Apple telah pun menamatkan sokongan aplikasi 32bit sepenuhnya bermula versi macOS 10.15.

Untuk makluman anda, Apple ada memberikan amaran kepada para pengguna mereka sebelum menaik taraf kepada macOS Catalina dengan menyenaraikan aplikasi-aplikasi yang tidak lagi boleh diaktifkan yang terdapat di dalam Mac mereka sekiranya pengguna meneruskan proses menaik taraf kepada macOS Catalina.

Setakat ini, pengguna Mac yang banyak menggunakan aplikasi daripada pihak Adobe seperti Photoshop, Lightroom dari versi terdahulu merungut kerana aplikasi-aplikasi tersebut tidak lagi boleh diaktifkan.

Malah pihak Adobe sendiri menasihatkan kepada para pengguna perisian grafik mereka khususnya versi-versi aplikasi Adobe terdahulu supaya tidak menaik taraf kepada macOS Catalina kerana kebanyakkan aplikasi grafik mereka masih berasaskan aplikasi 32bit.

Malah bukan setakat itu sahaja, terdapat juga aduan pengguna Mac berikutan perkakasan peranti seperti mesin pencetak dan mesin pengimbas didapati tidak boleh digunakan bersama Mac mereka.

Apa yang boleh disimpulkan adalah, para pembangun aplikasi masih berdepan isu menaik taraf aplikasi yang dibangunkan mereka kepada 64bit. Proses ini semestinya mengambil masa bagi membolehkan aplikasi-aplikasi tersebut menyokong sepenuhnya macOS Catalina.

Anda boleh menyemak sendiri aplikasi-aplikasi yang ada di dalam Mac anda bagi memastikan sama ada ia adalah 32 bit atau 64 bit menerusi About This Mac > System Report > Software > Applications sebelum menaik taraf kepada macOS catalina 10.15.



Atau anda juga boleh menggunakan aplikasi Go64 yang dibangunkan oleh St. Clair Software yang boleh dimuat turun secara percuma bagi mempercepatkan imbasan aplikasi yang masih berasaskan 32bit di macOS anda.