Kenapa Papan Kekunci Disusun QWERTY Dan Bukannya ABC? Ini Sebabnya

Pernahkah anda terfikir mengapa papan kekunci di komputer, telefon pintar dan lain-lain peranti disusun secara QWERTY dan bukannya ABCDE?

Semuanya bermula sekitar tahun 1867 dimana Cristopher Latham Sholes mula menfailkan paten aplikasi untuk mesin taip. Difahamkan, separuh pertama abjad disusun dibarisan bawah manakala separuh lagi diletakkan pada barisan atas.

Namun, susun atur papan kekunci itu berhadapan masalah tersekat oleh kerana pengguna yang mahir menaipnya dengan terlalu laju.

Beberapa percubaan telah dilakukan Sholes untuk mengatasi masalah tersebut seperti mengubah butang, tetapi masalah itu masih berulang.

Setelah itu, beliau tampil dengan idea untuk memperlahankan cara pengguna menaip dengan menyusun abjad yang kerap digunakan lebih jauh antara satu sama lain, seperti huruf 'S' dan 'T'.

Untuk mengkomersialkannya, Sholes menjual rekaan tersebut kepada Remington Company pada 1873 dengan susunatur seperti dibawah:

2 3 4 5 6 7 8 9 - ,

Q W E . T Y I U O P

Z S D F G H J K L M

A X & C V B N ? ; R

Ia diolah sedikit oleh syarikat berkenaan dan hampir menyerupai dengan susunan yang ada pada papan kekunci zaman sekarang, tetapi tiada butang 1 dan 0 untuk menjimatkan kos pengeluaran. Nombor 1 dan 0 digantikan dengan huruf besar I serta O.

Kapsyen: Mesin taip Sholes & Glidden 1873 | Kredit foto: Science Source via CNET

Mesin taip itu bagaimanapun tidak mendapat sambutan hangat kerana beberapa sebab seperti dijual pada harga yang mahal iaitu $125 untuk satu unit, mudah rosak dan ditaip dengan huruf besar sahaja.

Ia dilihat mahal kerana rata-rata penaip ketika itu hanya memperoleh gaji sekitar $7 dan $15 seminggu. Pada zaman itu juga, surat cinta yang ditaip menggunakan mesin taip dianggap tidak seikhlas tulisan tangan. Penambahbaikan dibuat pada 1878 dengan model Remington No.2 yang lebih baik.

Selain QWERTY, ada juga susun atur lain seperti DVORAK (AEIOU) yang dipatenkan oleh Dr. August Dvorak dan Dr. William Dealey pada 1936.

Ia dikatakan lebih laju dan mengurangkan ketengangan untuk kerja-kerja menaip dalam jangka masa panjang. Pada susun atur ini, huruf vokal yang sering digunakan diletakkan pada barisan tengah dan pengguna mampu menaip lebih kurang 400 perkataan dari barisan tersebut berbanding QWERTY dengan hanya 100 perkataan.

Kapsyen: Papan kekunci Dvorak | kredit foto: Dvorak

Papan kekunci Colemak pula dikeluarkan pada 2006 sebagai alternatif kepada QWERTY dan DVORAK. Ia dinamakan dengan Colemak sempena penciptanya, Shai Coleman dan ditambah dengan huruf 'K' pada hujung yang diambil dari Dvorak.

Kapsyen: Papan kekunci Colemak | Kredit foto: Colemak

Perbezaannya denggan QWERTY adalah ia mengurangkan pergerakan jari kerana QWERTY memerlukan 2.2 kali lebih pergerakan.

Sumber: Thought Co., CNET, Branch Collective dan Mashable