Umum mengetahui, Cyberpunk 2077 merupakan satu permainan video RPG yang dibangunkan oleh CD Projekt Red (CDPR) dan adalah salah satu judul permainan yang paling dinanti-nantikan oleh para gamer pada tahun ini.
Namun, mungkin ada yang tertanya-tanya mengapa nama Cyberpunk 2077 ini begitu disebut-sebut? Malah, walaupun belum lagi dilancarkan, ia telah berkolaborasi dengan pelbagai pengeluar termasuk OnePlus, NVIDIA, Microsoft dan lain-lain.
Ada pula yang mengatakan Cyberpunk 2077 akan tersenarai dalam permainan terbaik tahun ini walaupun belum lagi dilancarkan.
Cyberpunk
Cyberpunk 2020 merupakan tabletop RPG yang dibangunkan dan diterbitkan oleh R. Talsorian Games pada 1990. Ia cukup popular dalam kalangan peminatnya, namun tidak begitu terkenal.
Pada 2013, CDPR yang ketika itu telah menghasilkan dua siri permainan video The Witcher telah mengeluarkan trailer yang mengumumkan mereka dalam perancangan untuk menghasilkan permainan video bertajuk Cyberpunk 2077.
Namun, selepas trailer tersebut, tiada khabar mengenainya berikutan pada masa itu fokus utama adalah untuk menyiapkan dan melancarkan siri The Witcher 3: Wild Hunt.
Hanya selepas lima tahun kemudian, CDPR telah “menggodam” di akhir sidang media Microsoft pada acara E3 dan melancarkan trailer terbaru Cyberpunk 2077. Namun, Cyberpunk 2077 hanya akan dilancarkan pada 10 Disember ini.
Selesai mengenainya, di bawah pula kami senaraikan antara sebab kenapa nama Cyberpunk 2077 begitu disebut-sebut pada masa ini.
CD Projekt Red
Pertama, kerana CD Projekt Red adalah pembangun Cyberpunk 2077. CDPR ditubuhkan pada Mei 1994 oleh Marcin Iwiński dan Michał Kicińsk.
Mereka mempunyai reputasi yang baik dalam komuniti gaming. Ianya termasuk dari segi penulisan dan jalan cerita yang dihasilkan sangat terperinci. Selain itu, pembangun juga terkenal dengan susun atur gameplay yang hebat. Paling utama, permainan video yang dihasilkan adalah bebas DRM (Digital Right Management).
The Witcher 3: Wild Hunt
Siri The Witcher 3 merupakan permainan video “masterpiece” yang dibangunkan dan diterbitkan oleh CDPR. Ketika dilancarkan pada 2015, permainan video ini menjadi hit. Sehingga Mei 2020, terdapat tiga permainan dalam siri ini dengan jumlah jualan lebih 50 juta unit.
Dengan itu, boleh dikatakan Cyberpunk 2077 turut terkena tempias populariti The Witcher 3 memandangkan kedua-dua permainan video ini adalah dari pembangun yang sama. Tidak hairan lagi jika rata-rata pemain turut menaruh harapan besar pada Cyberpunk 2077.
Konsep dan jalan cerita
Menerusi trailer yang dikeluarkan oleh CDPR, mekanik permainan dan pertarungan dalam Cyberpunk 2077 kelihatan begitu menarik. Ia mempunyai jalan cerita dan konsep baharu, yang bukannya dari permainan yang telah dihasilkan semula mahupun remaster.
Selain itu, Cyberpunk 2077 mempunyai struktur permainan terbuka yang membolehkan pemain mengakses pelbagai kemahiran dan kebolehan untuk pelbagai tujuan. Menariknya, pilihan yang dibuat juga akan membentuk dunia dan jalan cerita di sekitar pemain.
Keanu Reeves
Percaya atau tidak, Keanu Reeves juga merupakan sebab mengapa permainan video ini begitu disebut-sebut. Dalam permainan video ini, Keanu Reeves memainkan peranan sebagai Johnny Silverhand yang merupakan antara karakter penting dalam Cyberpunk 2077.
Sudah tentu, pemain juga boleh bermain sebagai Johnny Silverhand dalam Cyberpunk 2077.
Penangguhan pelancaran beberapa kali
Tidak hanya sekali, pelancaran Cyberpunk 2077 telah beberapa kali ditangguhkan. Pelancaran pada asalnya dijadualkan April 2020, kemudiannya ditunda ke September 2020. Setelah itu, sekali lagi ditangguhkan ke November dan pelancaran terkini dijadualkan akan berlangsung pada 10 Disember 2020.
Secara amnya, ia mungkin mengecewakan ramai pemain, namun terdapat beberapa kelebihan daripada penangguhan ini. Ia membuatkan lebih ramai pengguna ternanti-nanti dan menimbulkan hype untuk permainan ini.
Namun, dengan pelancaran yang tidak tergesa-gesa ini juga membolehkan pelbagai ujian bug/pepijat dilakukan sebanyak mungkin bagi memastikan tiada masalah yang dihadapi apabila dilancarkan kelak.
Ianya sekaligus memberikan kepercayaan bahawa CDPR mahu memberikan yang terbaik kepada para pemain. CDPR sendiri sudah pasti mahukan Cyberpunk 2077 menjadi judul permainan terbaik pada tahun ini.
Berikut merupakan peta pelancaran global Cyberpunk 2077.
Jadi, bagi anda sendiri apa yang membuatkan Cyberpunk 2077 begitu dinanti-nanti? Tinggalkan komen anda.