Kenapa Masih Ada Rakyat Malaysia Yang Terus Menjadi Mangsa 'Scam'?

Berita, makluman, kempen dan bermacam lagi info 'scam' telah dihebahkan. Tapi, mengapa masih ada yang menjadi mangsa?


Penulisan ini dihasilkan berikutan penulis melihat sejak kebelakangan ini, media perdana kembali hangat melaporkan isu mangsa penipuan "Macau Scam". Sebagai contoh mangsa terbaru adalah seorang  pesara guru wanita yang telah kehilangan wang simpanan peribadinya sebanyak RM179,890 pada Julai lalu.

Dalam bulan yang sama juga, seorang pengetua sekolah telah kerugian sebanyak RM103,950 akibat diperdaya oleh sindiket Macau Scam.

Lagi melibatkan Macau Scam adalah seorang guru KAFA yang kerugian sebanyak RM10,000 akibat ditipu oleh sindiket tersebut.

Kesemuanya berlaku hanya dalam bulan Julai lalu sahaja. Belum membelek kembali bulan-bulan terdahulu yang lain lagi.

Kenapa ini berlaku? Apakah sebaran berita, makluman, kempen kesedaran dan bermacam lagi info yang dikongsikan menerusi arus perdana, internet dan perkongsian-perkongsian di laman sosial masih tidak mampu menyedarkan betapa seriusnya masalah ini?

WhatsApp dan panggilan telefon


Antara lubuk utama yang dijadikan tempat untuk sindiket penipuan bagi melaksanakan operasi mereka adalah menerusi hantaran e-mel dan mesej di aplikasi sembang sosial khususnya WhatsApp.

Kapsyen: WhatsApp yang diperkenalkan pada 2009 kini mempunyai lebih daripada 1.2 bilion pengguna aktif di seluruh dunia dan rakyat Malaysia merupakan pengguna yang paling paling ramai di dunia menggunakan aplikasi ini. Maka tidak hairanlah ia antara lubuk bagi Scammers mendapatkan mangsanya.


Tidak sekadar itu, sindiket seperti Macau Scam juga turut beroperasi dengan menghubungi terus mangsa melalui panggilan telefon.

Daripada panggilan itu, sindiket biasanya akan memberi maklumat palsu kebiasaannnya berbentuk ugutan. Sebagai contoh kononnya mangsa telah dikenakan saman, didenda, didakwa terlibat dengan kegiatan judi, sedang dipantau oleh pihak berkuasa dan macam-macam lagi.

Jadi, pemangsa akan mengugut mangsa supaya membayar dalam jumlah tertentu bagi membolehkan tindakan yang didakwa ke atas mangsa tadi digugurkan.

Percaya


Kebanyakkan mereka yang menjadi mangsa kepada teknik penipuan seperti ini adalah mereka begitu mudah percaya tanpa usul periksa terlebih dahulu apabila didekati pemangsa.

Alasan utama mereka yang kebiasannya terpedaya dengan penipuan tersebut pula adalah kerana takut terhadap apa yang didakwa oleh si penipu tersebut ke atas mereka.

Kapsyen: Terdapat 4 teknik scam yang biasa digunakan oleh sindiket iaitu Love scam, Weight loss, Lottery winner dan Nigerian Prince scam

Bukan isu remeh


Bagi sebahagian dari masyarakat kita, mungkin isu scam ini bagi mereka adalah isu remeh. Mungkin sebab itulah juga masih ramai rakyat Malaysia yang terus menjadi mangsa sindiket penipuan ini.

Pada tahun lalu sahaja, media melaporkan terdapat seramai 4 orang wanita telah kerugian setengah juta ringgit angkara Macau Scam yang berlaku hanya dalam tempoh kurang dari sebulan.

Walaupun biasanya jumlah mangsa yang terjebak dengan satu-satu kes adalah tidak ramai, tetapi ia melibatkan kerugian wang yang besar sehinggakan ada yang lebih daripada jutaan ringgit.

Manakala, mangsa scam pula kebiasaanya adalah terdiri daripada wanita yang berkerjaya seperti guru, kakitangan kerajaan dan swasta, pesara, ibu tunggal dan lain-lain.

Walaupun ada juga kaum lelaki yang menjadi mangsa, tetapi kaum hawa didapati lebih mudah menjadi mangsa Scam.

Peka


Apa yang dapat disimpulkan berkaitan isu scam ini adalah pengguna seharusnya peka, prihatin dan sentiasa berhati-hati apabila didekati oleh Scammer.

Sindiket penipuan mempunyai berpuluh mungkin beratus cara bagi memperdaya mangsanya.

Termasuklah menyampaikan pertuduhan palsu, berita menerima ganjaran secara tiba-tiba kononnya anda pelanggan bertuah dan setia atau mendekati mangsa yang terdesak perlukan kasih sayang (love scam).

Kita seharusnya menyiasat terlebih dulu tuduhan atau dakwaan yang dilemparkan sama ada menerusi panggilan, mesej ataupun e-mel yang diterima. Juga tidak mudah terpedaya dengan kata dan janji manis yang anda tidak pernah jumpa berdepan dengan invidu itu.

Kapsyen: Jangan takut atau gelabah tak tentu pasal dengan mengikuti sahaja arahan yang diberikan oleh individu yang tidak dikenali secara atas talian.


Ini bukanlah satu teknik pukau yang pernah popular digunakan macam zaman dulu-dulu. Sebaliknya ia adalah teknik manipulasi terhadap kurangnya kesedaran dan sikap tidak ambil peduli kita terhadap sesuatu isu sungguh pun dunia hanya dihujung jari sahaja.

Akhir kata, jangan tertipu, jadilah pengguna berpengetahuan dan juga jangan jadi tali barut sindiket scam.