Kenapa Kami Pilih Mi 9T Sebagai Model Terbaik Kelas Pertengahan Setakat Ini

Reading Time: 5 minutes

Siapa tidak kenal dengan Xiaomi, setiap kali pelancaran dibuat ada saja kejutan yang dilakukan. Ambil contoh tahun lalu, dengan bersahaja mereka memperkenalkan Pocophone F1, sub-jenama yang dilengkapi dengan cip pemprosesan idaman ramai ketika itu, Snapdragon 845.

Tak cukup dengan itu, Xiaomi sekali lagi menarik perhatian ramai dengan kemunculan Mi 9, dikuasakan dengan cip Snapdragon 855 dan disebut sebagai peranti flagship termurah pada tanda harga bawah RM2000.

Nampaknya, penawaran lebih kurang sama dikekalkan oleh Xiaomi melalui model Mi 9T. Persaingan dalam kelas pertengahan boleh dikatakan sengit dengan pertarungan dari pelbagai jenama dan kemunculan Mi 9T, ibarat menenggelamkan pesaing-pesaing yang lain.

Setakat enam bulan pertama tahun 2019, kami berpendapat bahawa Mi 9T adalah telefon pintar kelas pertengahan terbaik didalam pasaran. Mengapa? Ikuti penjelasan kami ini.

Harga jualan rasmi di Malaysia adalah yang terendah berbanding pasaran global yang lain

Ketika harga jualan rasmi diumumkan, rata-rata daripada kita terpegun melihat nilai yang diletakkan pada peranti ini. Pada awalnya, ada yang meramalkan harga mungkin sekurang-kurangnya mencecah RM1400 atau lebih berdasarkan kualiti binaan serta penggunaan cip terbaru, Snapdragon 730.

Namun itu semua bukanlah penghalang kepada Xiaomi dalam memberikan pengalaman seakan flagship pada harga lebih berbaloi. Untuk pengetahuan anda juga, harga jualan RM1199 (storan 64GB) untuk pasaran Malaysia ini adalah yang paling rendah jika dibandingkan dengan beberapa pasaran lain seperti Bulgaria Лв.769.90 (~RM1830.03), Filipina ₱25,500 (~RM2056.55) dan Eropah pula diletakkan pada nilai €329 (~RM1529.28).

Spesifikasi terbaik dan merupakan peranti pertama dalam Malaysia dilengkapi Snapdragon 730

Bercakap tentang spesifikasi, Mi 9T dimuatkan dengan komponen dalaman yang cukup baik dan Xiaomi yakin ia sudah memadai untuk setiap keperluan pengguna dalam kelas ini.

Skrin paparan 6.39 inci dari jenis AMOLED memberikan lebih kepuasan sewaktu menonton video. Menambah lagi keseronokan itu, ia tampil dengan rekaan tanpa takuk, sangat sesuai dengan sebahagian pengguna yang sehingga sekarang masih belum mampu menerima tren paparan sebegitu rupa.

Menarik lagi tentang Mi 9T adalah penggunaan Snapdragon 730, cip pemprosesan yang diperkenalkan tiga bulan lalu. Mi T9 merupakan antara model yang terawal dan peranti pertama di Malaysia yang menggunapakai cip pemprosesan ini.

Snapdragon 730 dikelaskan sebagai cip pertengahan berprestasi tinggi yang dibangunkan menerusi proses 8nm. Ia kini membawakan teknologi yang sebelumnya hanya tersedia eksklusif pada cip siri Snapdragon 8XX.

Antaranya adalah Qualcomm AI Engine generasi ke-4 dengan 2x lebih kepantasan berbanding Snapdragon 710, Qualcomm Spectra 350 ISP dengan Computer Vision (CV-ISP) memberikan lebih keupayaan pada kamera dan yang pertama untuk siri Snapdragon 7XX.

Walaupun hanya dilengkapi dengan dua teras A-76 berprestasi tinggi, ia sudah mencukupi untuk berada dihadapan dalam persaingan dengan generasi terdahulu. Beroperasi pada bahagian grafik, Adreno 618 dilihat sudah berupaya mengendalikan semua kandungan 1080p. Bahagian sistem memori pula menampilkan hanya satu pilihan RAM iaitu 6GB ditemani dua variasi memori simpanan antara 64GB dan 128GB.

Jurang perbezaan antara kelas pertengahan dan kelas atasan semakin rapat

Dengan kelengkapan dalaman yang terdapat pada Mi 9T, ia bagai merapatkan jurang antara kelas pertengahan dan flagship melalui Snapdragon 730 dan GPU juga berkemampuan untuk memberikan prestasi terbaik bagi apa sahaja permainan untuk beberapa tahun mendatang.

Sistem kamera Mi 9T turut memuaskan hati dimana ia dipasang dengan tiga lensa kamera terdiri daripada lensa 48MP (f/1.75) + 8MP telefoto (f/2.4) + 13MP ultra lebar (f/2.4). Hasil yang boleh anda dapatkan dari kamera utama adalah tahap perincian yang bagus, warna hampir kepada warna sebenar serta cemerlang dari segi kontras dengan julat dinamik yang luas.

Kamera hadapan terangkat juga menawarkan prestasi yang “terangkat”. Butiran imej yang cukup, warnanya bagus disertai ketajaman yang baik.

Urusan seharian kita mungkin banyak melibatkan telefon pintar dan untuk itu, sebuah peranti yang mampu bertahan dalam sehari amat ditagih ramai. Mi 9T dibekalkan dengan bateri 4000mAh bersama- sama pengecasan pantas 18W yang disalurkan melalui port USB C. Dengan kapasiti sebesar itu, ia sudah mampu memberi nyawa kepada peranti dalam satu hari.

Bahagian atas  diletakkan dengan bicu audio 3.5mm serta LED notifikasi pada atas kamera terangkat

Antara keluhan pengguna masa kini adalah ketiadaan bicu audio 3.5mm. Penggunaan adapter untuk fon telinga berwayar mungkin dianggap renyah oleh segelintir pengguna. Tidak seperti Mi 9, model ini disertakan dengan bicu audio 3.5mm dan ia menunjukkan Xiaomi mendengar permintaan peminat mereka.

Kualiti binaan umpama flagship

Tak dinafikan semua telefon pintar kelas pertengahan yang diperkenalkan dalam tempoh setahun dua ini mempunyai rekaan menawan. Gabungan warna-warna meriah ditambah dengan corak menarik, menaikkan lagi elemen premium sesebuah peranti. Tetapi ada diantaranya hanyalah panel plastik yang seakan kaca disebut sebagai glass-tic.

Walaupun berharga bawah RM1200, Xiaomi tidak lokek untuk memberikan binaan berkualiti pada Mi 9T. Melengkapi peranti ini adalah panel belakang kaca disamping corak disisi peranti dengan perlindungan dari Corning Gorilla Glass 5.

Panel kamera hadapan yang bertugas membawa naik turun lensa juga tidak dibiarkan kelihatan suram dimana Xiaomi meletakkan LED. Ia tidak memberikan apa-apa penambahan kepada prestasi peranti, tetapi kehadirannya meningkatkan lagi seri model ini.

Reka bentuknya selesa dipegang dengan sisi sedikit melengkung kearah skrin serta berat yang sekata. Mudah kata, ia sebuah peranti yang solid. Tiga pilihan warna diberikan adalah Glacier Blue, Flame Red dan Carbon Black.

Secara keseluruhan, spesfikasi dan prestasi yang ditawarkan Mi 9T memberangsangkan dan tidak salah ia dianggap “midrange killer“.

Sekarang anda sudah jelas mengapa kami memilihnya sebagai peranti kelas pertengahan terbaik setakat ini? Adakah anda sudah memiliki peranti ini? Boleh kongsikan pada ruangan komen dan sekiranya anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Mi 9T, boleh layari laman rasmi Mi Malaysia atau Facebook Mi Malaysia. Sekiranya anda berminat untuk mendapatkan Mi 9T secara dalam talian, boleh dapatkannya dari Xiaomi Flagship Store di Lazada.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *