Kenapa Guna Nama Galaxy S20 Dan Bukannya S11? Ini Jawapan Diberikan Samsung

Penantian peminat siri Galaxy S sudahpun berakhir dua hari lalu dimana model terbaru Galaxy S20, Galaxy S20+ dan Galaxy S20 Ultra telahpun selamat dilancarkan. Pra-tempahan untuk pasaran Malaysia juga dibuka pada hari yang sama dengan tiga model ditawarkan pada harga bermula RM3599 sehingga RM4999.

Siri Galaxy S pertama kali hadir 10 tahun yang lalu dan sejak itu, setiap model membawa nama menggunakan turutan angka. Galaxy S, S2,S3, S4, S5, S6 (Edge), S7 (Edge), S8, S9 dan S10. Sehinggalah yang terbaru ini, ia bertukar kepada S20. Apakah signifikan kepada perubahan nama ini? Adakah kerana dilancarkan pada tahun 2020?

Samsung menerusi Ketua Pemasaran Produk Mudah Alih, Denny Galant menyatakan bahawa siri terbaru ini mempunyai sejumlah teknologi yang lebih kehadapan.

Ia bukan sekadar membandingkannya dengan model terdahulu seperti S10 dan Galaxy Note 10, malah kepada teknologi yang ditawarkan pada pasaran ketika ini. Oleh kerana "lompatan teknologi" tersebut nama S20 dipilih, menggambarkan sebuah peranti yang dimuatkan dengan sejumlah inovasi terbaik.

Antara ciri yang mendapat perhatian pastinya kemampuan zoom sehingga 100x, rakaman video 8K, penggunaan RAM LPDDR5 dan lain-lain lagi spesifikasi terbaik.

Sumber: Liputan 6