Kenali Perbezaan "Fitness Tracker" Dan "Smartwatch"

Sesuai dengan peredaran zaman, bukan sahaja telefon menjadi pintar, jam tangan juga sudah menjadi pintar. Sejak kebelakangan ini, peranti boleh pakai seperti jam tangan pintar dan penjejak kesihatan sudah mula menjadi perhatian pengguna.

Lihat sahaja tahun ini, Xiaomi, Huawei, OPPO, realme pun makin hari makin menawarkan jam tangan pintar dengan spesifikasi yang baik. Malah, OnePlus turut tidak ketinggalan memperkenalkan jam tangan pintar pertama mereka.

Penggunaan jam tangan pintar ini tidak terhad hanya memaparkan waktu atau memberikan notifikasi dari telefon. Akan tetapi sebenarnya ia juga melengkapkan sebuah ekosistem bagi sesebuah jenama dan turut menawarkan sedikit kelebihan kepada pemakai.

Kepada anda yang tidak pernah memiliki peranti boleh pakai itu, pasti timbul sedikit kekeliruan mengenai jam tangan pintar ini. Mudah cerita, di pasaran terdapat dua peranti berbeza dimana pertama adalah jam tangan pintar (smartwatch) dan kedua adalah penjejak kesihatan (fitness tracker).

Di sini kami akan menceritakan secara ringkas dari segi persamaan, perbezaan serta kelebihan dan kekurangannya. Secara tidak langsung memudahkan anda untuk menilai, yang mana satu kena dengan cita rasa dan keperluan.

Persamaan


Perkara yang paling ketara adalah fungsi utama ia dicipta, iaitu membantu menjejak atau memantau kesihatan pengguna. Antara yang popular adalah memantau degupan jantung, waktu tidur dan tampil dengan beberapa mod sukan serta senaman.

Tidak cukup dengan itu, masing-masing juga dilengkapi dengan fungsi kawalan kamera dan keperluan asas seperti membaca notifikasi yang diterima di telefon pintar.

Perbezaan


Pada smartwatch, pengguna boleh memasang (install) aplikasi dari pihak ketiga. Jika Apple mempunyai watchOS, peranti lain juga ada wearOS. Apa yang menariknya, pengguna bebas untuk memasang mana-mana aplikasi yang mereka rasa diperlukan.

Selain itu, smartwatch juga mempunyai kemampuan untuk menjawab panggilan atau membalas mesej secara terus dari peranti tersebut. Bahkan, terdapat beberapa smartwatch yang didatangkan sokongan selular dimana ia tidak perlu dipadan (pair) bersama telefon.

Mudah kata, ketika berjoging di luar, pengguna tidak lagi perlu membawa telefon bersamanya tetapi masih boleh menerima atau menjawab panggilan dan sebagainya.

Namun, fitness tracker harus sentiasa disambungkan melalui Bluetooth dan ia juga hanya memaparkan notifikasi asas.

Kelebihan Dan Kekurangan


Kelebihan pada pada smartwatch adalah sambungan atau connectivity itu lebih sempurna. Ia sudah menjadi sebuah peranti yang boleh "berdiri" secara sendiri. Ibarat telefon pintar kecil berada di pergelangan tangan.

Kapsyen: Samsung Galaxy Watch3


Bagaimanapun, seperti telefon pintar, smartwatch juga sama sepertinya yang mana bateri tidak mampu bertahan lama. Dalam bahasa lain, "bateri macam air".

Untuk fitness tracker pula, walaupun kekurangannya adalah perlu dipadankan dengan telefon pintar setiap masa dan hanya memaparkan notifikasi asas, tetapi harganya jauh lebih mampu milik. Dari segi bateri, tiada isu untuk mengecasnya setiap hari.

{suggest}

Smartwatch Atau Fitness Tracker?


Soalan ini sememangnya subjektif. Akan tetapi ia adalah ikut keperluan pengguna. Jika anda mempunyai bajet yang besar dan seorang yang sangat sibuk, jam tangan pintar (smartwatch) ini amatlah berguna.

Smartwatch juga boleh dikatakan seimbang dimana ia ibarat dua peranti yang digabungkan menjadi satu, iaitu sebuah telefon dipadankan dengan penjejak kesihatan.

Namun, sekiranya anda seorang yang mengamalkan gaya hidup aktif, gemar bersukan seperti mendaki bukit setiap minggu, berbasikal dan sebagainya, fitness tracker adalah yang terbaik.

Kapsyen: Xiaomi Mi Band 6


Hal ini kerana baterinya boleh bertahan lama, tahan lasak dan saiznya yang sangat kompak menjadikannya selesa dipakai apabila bersukan. Mungkin fitness tracker ini tampak "basic" tetapi ia masih lagi menawarkan sejumlah fungsi kesihatan yang terdapat pada smartwatch dan yang paling penting, harganya boleh didapati serendah bawah RM200.

https://www.youtube.com/watch?v=_0ijDpSq1zE

Berkaitan