Kenali Lebih Dekat Vivo NEX 3 5G Dengan Paparan “Air Terjun” Yang Bakal Jadi Tren

Reading Time: 5 minutes

Bilamana menyebut skrin paparan melengkung,ia bukanlah ciri yang asing dimana penawarannya sudah banyak dibuat oleh pengeluar-pengeluar telefon pintar. Jika siri pertama Vivo NEX menampilkan kamera hadapan terangkat, diikuti dengan dwi paparan bagi NEX 2 edisi kali ini pula memperlihatkan kehadiran paparan skrin dipanggil sebagai “Waterfall FullView” yang dibawa menerusi Vivo NEX 3 5G.

Diberi kesempatan menyertai acara pelancaran yang berlangsung di Shanghai tempoh hari, ini merupakan pengalaman awal menggunakan Vivo NEX 3 5G buat beberapa ketika.

Spesifikasi dan reka bentuk

Sebelum bercerita lebih lanjut mengenai peranti ini, kita lihat terlebih dahulu spesifikasi yang dilengkapkan pada peranti Vivo ini.

  • Skrin paparan POLED Waterfall FullView berukuran 6.89 inci dengan resolusi FHD+
  • Snapdragon 855 Plus
  • RAM 8GB/12GB
  • Storan 256GB (UFS 3.0)
  • Kamera hadapan 16MP (f/2.0) + LED Flash
  • Kamera belakang 64MP (f/1.8) + 13MP (f/2.2) ultralebar + 13MP (f/2.4) telefoto
  • Bateri 4500mAh dengan pengecasan pantas Super Flash Charge 44W
  • Port sambungan: bicu audio, USB-C
  • Imbasan cap jari pada paparan

Seperti peranti-peranti premium lain, reka bentuk luar Vivo NEX 3 5G cukup menawan adanya panel paparan yang lebih melengkung pada sisi peranti. Lebih lengkung dari peranti yang sedia berada dipasaran ketika ini. Nisbah skrin-ke-badan paparan peranti ini mencecah sehingga 99.6% diiringi dengan dahi dan dagu yang nipis.

Skrin paparan bersih tanpa sebarang rekaan lubang mahupun takuk kerana sistem kamera hadapan menggunapakai mekanisme terangkat. Kamera hadapan terangkat itu tidak bersendirian dimana ia ditemani dengan fungsi LED Flash, menambahbaik aspek pencahayaan ketika rakaman foto dibuat.

Sisi kanan dan kiri peranti langsung tidak kelihatan dengan butang kuasa fizikal serta pelaras kelantangan bunyi seperti telefon pintar yang lain.

Ia digantikan dengan ciri Touch Sense yang memberikan tindak balas haptik bagi kedua-dua fungsi tersebut. Bagi mengelakkan kekeliruan ketika menggunakannya, kedudukan butang pelaras bunyi tinggi dan rendah dipisahkan dengan butang kuasa yang mempunyai tekstur bergaris.

Paparan sisi itu juga menyediakan ciri pelaras bunyi maya, membolehkan kuat atau perlahan audio dilakukan tanpa menekan sisir peranti. Rekaan tanpa butang fizikal ini sedikit sebanyak mengingatkan kita kepada peranti konsep dari Vivo sendiri iaitu Vivo Apex.

Bahagian bawah bermula daripada sebelah kiri ditempatkan slot kad SIM diikuti port pengecasan USB C serta corong pembesar suara mono.

Sisi atas pula, selain lensa kamera yang tersorok terdapat satu butang yang didedikasikan untuk mematikan skrin paparan dirasakan tidak perlu tetapi mungkin berguna sekiranya butang kuasa maya disisi tidak berfungsi.

Sebelum kita beralih kebahagian belakang, melengkapkan panel hadapan adalah fungsi imbasan cap jari pada paparan yang mana Vivo menyatakan ia lebih pantas daripada versi sebelumnya dan berdasarkan penggunaan awal, kami berpuas hati dengan kepantasan skrin dinyah kunci.

Vivo NEX 3 5G mempertaruhkan tetapan tiga kamera belakang yang terdiri daripada 64MP+13MP+13MP yang disusun didalam modul  bulatan Lunar Ring, seakan-akan Vivo NEX Dual Display sebelum ini. Vivo NEX 3 5G diberikan dengan dua pilihan warna iaitu Liquid Galaxy dan Glowing Night.

Perkara yang sering dikeluhkan oleh pengguna telefon pintar dengan skrin lengkung adalah sentuhan yang tidak disengajakan pada sisi paparan. Namun masalah tersebut nampaknya berjaya ditangani oleh Vivo melalui perisian yang dibangunkan mereka. Seperkara mengenai sisi paparan lengkung Vivo NEX 3 5G, ia akan memaparkan animasi apabila panggilan masuk, menerima notifikasi atau aplikasi pemain muzik memainkan lagu.

Pengalaman penggunaan Vivo NEX 3 5G

Dimuatkan dengan cip berkuasa seperti Snapdragon 855 Plus bergandingan dengan RAM antara 8GB/12GB serta storan dalaman 256GB berasaskan UFS 3.0, prestasi yang dibawa pastinya tidak akan menghampakan pengguna.

Berdasarkan laporan sebelum ini, ujian Antutu yang dijalankan keatas Vivo NEX 3 5G memperlihatkan bacaan skor yang tertinggi buat masa sekarang. Vivo NEX 3 5G turut disediakan dengan sistem penyejukan  yang mana ia mampu mengekalkan suhu komponen dalaman supaya memberikan prestasi terbaik, lebih-lebih lagi pada penggunaan berat seperti 5G. Ia dikatakan mampu mengurangkan suhu sehingga 10’C.

Dari segi sistem operasi, Vivo NEX 3 5G menjalankan sistem Funtouch OS 9.1 yang berasaskan Android Pie 9. Bagi yang tidak pernah menggunakan sistem antaramuka dari Vivo ini, panel tetapan muncul daripada bawah paparan, ala-ala iPhone dan bukannya dari atas seperti kebanyakkan telefon pintar Android yang lain.

Dalam siri kali ini, Vivo nampak lebih memberi penekanan terhadap rangkaian 5G dimana Vivo NEX 3 5G dipasang dengan 6 antena; 2x diatas, 2x dibawah, dan baki lagi berpasangan diatas kanan serta kiri. Ia bertujuan memberi lebih kestabilan pada sambungan rangkaian 5G tanpa mengira cara pegangan tangan.

Dengan adanya keupayaan 5G yang dibawa menerusi modem Qualcomm X50, sudah tentu peranti ini akan  menelan banyak kuasa dan ia dapat diatas melalui bateri berkapasiti 4500mAh bersama pengecasan pantas Super Flash Charge 44W. Tiada masalah untuk Vivo NEX 3 5G bertahan lebih lama.

Dari segi tontonan kandungan video pada paparan Waterfall FullView, ia agak janggal sedikit namun panel tersebut mampu menghasilkan perincian yang cemerlangs serta kecerahan mencecah 800nits selain sokongan HDR10.

Tiga kamera mengeluarkan imej baik

Tidak lengkap sesebuah peranti flagship tanpa kemampuan rakaman gambar yang berkualiti. Rakaman foto belakang digalas tiga lensa; 64MP lensa utama, 13MP ultra lebar dan 13MP telefoto. Kamera utama menghadirkan sensor bersaiz 1/1.171, lebih besar berbanding dari telefon lain yang kebiasannya disertakan dengan sensor 1/2.55.

Untuk makluman, perisian kamera yang diuji kami masih lagi pada peringkat awal dan agak kurang stabil. Disebabkan itu gambar yang dihasilkan cemerlang dan ada ketikanya kurang memuaskan. Rakaman malam pada peranti ini dilihat dapat dibuat dengan kadar agak pantas iaitu lebih kurang 3 saat.

Kami kongsikan sedikit sampel gambar dibawah dan selebihnya akan kami kongsikan sedikit masa lagi;

Secara keseluruhannya,  sistem kamera yang masih belum stabil ini berupaya memberikan gambar dengan warna lembut dan perincian yang memuaskan,  tetapi kadangkala dilihat overexpose.

Memperlihatkan kepantasan ujian 5G

Dalam majlis pelancaran, Vivo tidak ketinggalan memperlihatkan ujian 5G pada peranti berkuasa mereka ini. Kelajuan muat turun purata 1.3Gbps dan muat naik 100Mbps.

Kelajuan ini mampu digapai melalui cip Qualcomm X50 serta penggunaan 6 antena yang memberikan lebih kestabilan ketika akses kepada rangkaian 5G.

Kesimpulan

Setelah tiga generasi ditawarkan oleh Vivo melalui siri NEX, ia sedit sebanyak membuktikan bahawa pengeluar ini sentiasa hadir dengan inovasi baru untuk diketengahkan kepada peminat. Mungkin ada yang beranggapan beberapa ciri yang dibawakan pada model ini agak keterlaluan seperti contoh tanpa butang fizikal dan skrin melengkung, kita perlu bersedia pada masa depan pasti akan lebih banyak model tampil sebegitu rupa.

Tolak tepi tentang perisian kamera yang masih dalam fasa pembangunan, hasil kameranya tidak menghampakan dan apabila versi stabil dipasarkan, prestasi lebih baik amat diharapkan. Walaupun lebih menekankan kepada rangkaian 5G, variasi 4G juga tidak dilupakan sesuai dengan negara-negara yang masih belum mengimplementasikan rangkaian itu sepenuhnya.

Dikhabarkan juga Vivo NEX 3 bakal dibawa masuk ke pasaran Malaysia tidak lama lagi dan sebagai pengguna telefon pintar, adakah anda berhajat untuk memilikinya? Boleh lontarkan satu dua pendapat tentang inovasi yang dibawakan Vivo pada ruangan komen.

Helmi Samsuri
Tentang Penulis

Pengerusi Kelab Catur Wiser.my

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *