Kenali Apa Itu Pengecasan Pantas & Perkara Menarik Mengenainya Dengan Lebih Mendalam

Pengecasan pantas menjadi antara fungsi terpenting yang boleh menjadi nilai tambah kepada sesebuah telefon pintar hari ini. Kita sering dihidangkan dengan jumlah aliran kuasa yang ditawarkan dan tempoh yang diperlukan untuk mengecas peranti sehingga penuh.

Akan tetapi, adakah kita tahu sepenuhnya apa itu pengecasan pantas dan bagaimana ia berfungsi? Untuk mendapatkan jawapan persoalan itu, jom ikuti penulisan kami pada kali ini.

Apa itu pengecasan pantas?


Hampir setiap pengeluar telefon pintar hari ini mempunyai jenama pengecasan pantas mereka sendiri hari ini. Oppo dengan SuperVOOC, Huawei mempunyai SuperCharge, OnePlus dengan Warp Charge dan banyak lagi.

Teknologi ini akan mengalirkan lebih banyak kuasa atau tenaga berbanding pengecasan biasa. Ia diukur menggunakan ampere(A) dan voltan(V) dimana ampere adalah jumlah aliran elektrik ke peranti yang dihubungkan.



via GIPHY

Manakala voltan pula ialah kekuatan arus elektrik yang dialirkan. Hasil gandaan ampere dan voltan (A x V) akan mendapatkan jumlah keseluruhan kuasa atau watt(W). 

Secara umumnya, lebih tinggi jumlah watt(W), semakin pendek tempoh pengecasan yang diperlukan oleh peranti. Ketika ini, Oppo R17 Pro mempunyai pengecasan terpantas dengan 50W.

Apa yang mempengaruhi prestasi pengecasan pantas?


Perkara pertama yang mempengaruhi pengecasan pantas pastinya aliran tenaga. Jumlah ampere dan voltan yang lebih tinggi pastinya akan membolehkan peranti dicas semula dengan lebih cepat.

Seterusnya, jenis kabel pengecasan universal serial bus(USB) yang digunakan. USB hari ini sudah mempunyai pelbagai siri/jenis dan setiap siri/jenis mempunyai had aliran kuasanya sendiri.

Kapsyen: Amazon


Siri/jenis USB yang dinyatakan adalah seperti berikut:

  • USB 1.0 - 2.5W(had kuasa)

  • USB 2.0 - 2.5W

  • USB 3.0 - 4.5 W

  • USB 3.1 - 100W


Selain itu, perkara yang paling mustahak ialah adapter. Tidak ada gunanya jika peranti anda menyokong pengecasan pantas 50W sekalipun jika adapter yang digunakan sekadar mampu mengalirkan tenaga pada 10W.

Jadi pastikan adapter yang digunakan adalah bersesuaian dengan sokongan pengecasan pantas yang ada pada peranti milik anda.

Adakah pengecasan pantas ini akan menyebabkan bateri lebih cepat rosak?


Jawapannya adalah tidak dan ya. Pengecasan pantas tidak merosakkan bateri sekiranya ia digunakan dengan betul dan peranti dicas pada waktu yang betul.

Namun, ia boleh memendekkan hayat bateri sekiranya digunakan semasa peranti masih panas atau sentiasa membekalkan kuasa penuh kepada bateri peranti.

Dalam kata mudah, pengecasan pantas hanya akan memberikan kesan buruk kepada peranti atas kesilapan pengguna sendiri.

Bagaimanapun, sekiranya kapasiti bateri terlalu besar, pengecasan pantas juga tidak terlalu sesuai untuk digunapakai kerana ia boleh menyebabkan bateri peranti menjadi kurang stabil.

Kapsyen: ASUS


Mungkin inilah sebabnya mengapa Asus tidak membekalkan pengecasan pantas pada dua telefon 5,000mAh mereka, Zenfone Max Pro M1 dan Max Pro M2 sebelum ini.

Teknologi pengecasan pantas ini juga sudah mula dibekalkan kepada lebih banyak peranti-peranti kelas pertengahan pada tahun ini dan ia sememangnya satu perkembangan yang sangat baik.

Diharapkan pengeluar peranti akan terus berusaha untuk menambaikkan lagi sistem pengecasan pada telefon-telefon keluaran mereka di masa-masa akan datang.

 

Sumber: FailTech   Digital Trends   PCMag   Bang Good Blog

Berkaitan