Kenal Pasti 5 Perkara Menarik Yang Anda Perlu Tahu Berkenaan Peranti Honor 10

Honor 10 merupakan sebuah lagi peranti kelas perdana keluaran Honor, selepas mereka memperkenalkan model Honor View 10 pada awal tahun ini. Peranti ini hadir dengan variasi 4GB RAM serta 128GB ROM serta disokong oleh cip terkini yang dikeluarkan oleh anak syarikat Huawei, HiSilicon Kirin 970.

Dilancarkan pada pasaran Malaysia pada 22 Mei yang lepas, Honor 10 ini menggunakan antaramuka EMUI 8.1 yang berlandaskan sistem operasi Android 8.1 Oreo. Dari segi kameranya pula, ia menggabungkan lensa lensa 16 MP (f/1.8) serta 24 MP lensa monokrom yang akan menghasilkan kualiti imej yang sangat baik.

Namun, ada beberapa perkara yang menarik perhatian kami dan membezakan Honor 10 ini dengan peranti-peranti lain yang berada di pasaran sekarang. Jadi di sini kami akan menyenaraikan 5 perkara menarik yang anda perlu tahu berkaitan Honor 10, salah satu peranti yang diramal bakal menjadi ‘flagship killer’ pada tahun ini.

1.Rupa bentuk yang menakjubkan



 

Rupa paras kini menjadi semakin penting bagi sesebuah peranti. Reka bentuk yang menarik, saiz yang sesuai serta pilihan warna yang tepat menjadi antara faktor-faktor penarik kepada sesebuah telefon pintar masa kini. Dan bagi Honor 10 ni pula, sekali anda dah terpandang, pasti akan terus jatuh cinta. Senang cakap, Honor 10 ini definisi sebenar cinta pandang pertama.

Perkara yang paling menarik perhatian pada peranti ini adalah keindahan bahagian belakangnya. Honor 10 ini boleh didapati dalam empat pilihan warna iaitu Phantom Blue, Phantom Green, Midnight Black serta Glacier Grey. Dan kesemua model ini mempunyai bahagian belakang yang bersinar dan berkilau. Melihat daripada pelbagai sudut yang berbeza, anda akan dapati warna belakang peranti ini akan kelhatan berlainan daripada warna asalnya.



Honor 10 ini turut menggunakan rekaan sudut melengkung pada setiap bucu peranti lantas tidak memperlihatkan bentuk petak pada peranti ini. Tambahan pula, peranti ini memiliki ketebalan 7.7mm dan berat 153g sahaja selain memiliki saiz sekitar 5.84 inci. Ini membuatkan peranti ini sangat selesa dipegang.

Maka, tidak salah lah untuk kami katakan yang Honor 10 ni nampak begitu mewah dan elegan. Mungkin ada yang menyangka peranti ni mungkin berharga RM 2000 atau lebih jika tidak mengetahui berkenaan harga sebenarnya. Buktinya, semasa majlis perkenalan Honor 10 ini pada pihak media, pihak Honor Malaysia telah meminta kami untuk meneka harga bagi peranti ini. Majoriti dari kami telah meneka harga peranti ini adalah lebih daripada RM2000.

2.Kamera AI yang Menyerlah

Ini merupakan salah satu perkara yang sangat menarik perhatian berkenaan peranti Honor 10 ni. Dengan teknologi AI yang telah dipasang pada kedua-dua kamera peranti ini, anda akan sekelip mata menjadi seorang jurugambar professional. Dengan bantuan ‘Neural Processing Unit(NPU)’ yang ada pada cip Kirin 970, kamera peranti ini mampu mengesan sehingga lebih daripada 500 objek berbeza  yang boleh dikategorikan dalam 22 kategori yang berbeza.



Dengan sokongan sistem kecerdasan buatan (AI) pada kamera peranti ini, ia akan membantu peranti untuk menjalankan fungsi ‘Smart Gallery’ yang akan mengkelaskan foto dalam galeri kepada kategori-kategori tersendiri. Sistem peranti ini akan mengesan individu dan suasana persekitaran pada imej dan ia menjadi lebih mudah sekiranya anda ingin mengimbau kenangan dengan melihat foto-foto yang telah diambil atau berkongsi dengan orang tersayang.

Sekiranya anda mengambil gambar sambil mengaktifkan fungsi AI, Honor 10 anda mengesan pelbagai suasana dan objek berbeza seterusnya akan melaraskan tetapan kamera secara sendiri. Anda hanya perlu tekan pada ikon shutter pada antaramuka kamera anda dan foto pada kualiti yang terbaik akan anda dapatkan.



Selain itu, kamera AI Honor 10 ini turut hadir dengan fungsi pengcahayaannya tersendiri yang dinamakan ‘Professional Portrait Lighting’ untuk pilihan anda. Pilihan seperti ‘Soft Lighting, Split Lighting, Butterfly Lighting, Stage Lighting, Classic Lighting’ akan membolehkan portrait anda kelihatan seperti foto yang terdapat dalam majalah-majalah terkemuka.



Bukan sahaja kamera utama yang dilengkapi teknologi AI pada peranti ini, malah kamera swafoto turut menikmati teknologi yang sama. Dengan adanya fungsi AI pada kamera hadapan 24MP ini, imej swafoto anda akan mencapai tahap kesempurnaan.

3.Pilihan Ciri dan Fungsi Yang Menarik



Honor telah membuat satu keputusan yang baik apabila menyenaraikan beberapa ciri yang ada pada sistem Android asli ada peranti Honor 10 kali ini. Antaranya ialah aplikasi Google Message dan Google Assistant. Ia sekaligus memberi pengalaman penggunaan Android asli kepada pemiliknya.

Selain itu, fungsi-fungsi lain seperti App-Twin dan Split-Screen yang turut dipasang pada Honor 10 juga adalah sesuatu yang memberi kelebihan kepada peranti ini. Fungsi App-Twin contohnya, akan membolehkan pengguna untuk menggunakan dua akaun berbeza dalam satu aplikasi yang sama. Sebagai contoh, pengguna boleh menggunakan dua akaun Whatsapp yang berbeza pada satu masa yang sama.

Honor juga telah membolehkan pelbagai variasi ‘gestures’ atau isyarat gerakan tangan untuk digunakan pada peranti ini. Di samping membuat tangkapan skrin dengan menekan butang ‘Power’ dan ‘Volume Down’ secara serentak, Honor membenarkan anda melakukannya dengan mengetuk skrin peranti sebanyak dua kali. Jangan risau, peranti ini menggunakan Corning Gorilla Glass, jadi tiada masalah untuk anda menggunakan cara ini untuk membuat tangkapan skrin.



Sistem nyahkunci bagi peranti ini juga terdapat keistimewaannya yang tersendiri. Ini kerana Honor 10 merupakan peranti pertama di dunia yang mempunyai pengimbas cap jari di bawah kaca yang sama dengan paparan skrin.

Ia juga menggunakan teknologi ultrasonic di mana anda tidak lagi risau untuk menyahkunci dengan jari yang basah. Keindahan reka bentuk peranti juga dapat dikekalkan apabila tiada potongan yang perlu di buat pada kaca paparan demi memberi ruang kepada pengimbas cap jari.

Di samping mempunyai pengimbas cap jari ultrasonic pada bawah skrin peranti, Honor 10 juga dapat dinyahkuncikan dengan pantas melalui pengesan wajah. Menariknya, pengesanan wajah pada peranti ini dapat berfungsi pada 180 darjah. Ini bermakna, anda tidak lagi perlu menempatkan peranti anda secara betul-betul selari dengan wajah anda untuk ciri ini berfungsi.

4.Spesifikasi Pada Kelas Yang Tersendiri

Kehebatan luaran Honor 10 ini setanding dengan keupayaan dalamannya. Peranti ini dilengkapi oleh cip pemprosesan terbaik yang dimiliki oleh sistem cip Kirin buat masa kini iaitu Kirin 970. Ia merupakan sistem cip yang sama digunakan oleh beberapa peranti kelas perdana yang lain, namun kebiasaannya peranti tersebut mempunyai harga sekitar RM 3,000. Dengan Honor 10 ini, anda tidak perlu mengosongkan poket anda untuk menikmati prestasi telefon pintar yang menakjubkan.



Hadir dengan cip Kirin 970 dengan sokongan 4GB RAM menjanjikan prestasi pada tahap tertinggi dibantu dengan pengurusan memori yang sangat baik daripada Honor pada peranti ini. Sistem cip ini turut dilengkapi dengan teknologi NPU yang membantu menjadikan kamera peranti ini sebagai antara yang terbaik di pasaran ketika ini.



Selain itu, Honor 10 ini akan dikuasakan oleh bateri sebesar 3,400 mAh yang amat bersesuaian untuk penggunaan sehingga 24 jam dengan penggunaan sederhana. Peranti ini juga menyokong fungsi pengecasan pantas Honor Supercharge yang mampu mengecas sehingga 50% dalam masa cuma 25 minit. Ini amat berguna untuk penggemar mobile gaming kerana anda tidak perlu menunggu lama untuk menyambung kembali permainan anda.

5.Harga yang tidak masuk akal



Spesifikasi mantap, rupa bentuk mantap, harga jualan RM1,599 je? Apa lagi yang kita mahu? Dengan harga sedemikian, anda akan dapat memiliki sebuah peranti dengan cip pemprosesan premium Kirin 970, peranti yang sangat seksi dengan bahagian belakang yang berkilau dan pengalaman penggunaan yang sangat lancar dan pantas.

Seperti yang telah dinyatakan, ramai yang tidak menyangka bahawa Honor 10 ini akan dijual pada harga sebegitu rendah. Ini kerana kebanyakkan peranti flagship kini mempunyai harga yang agak tinggi iaitu sekitar RM 2,000 ke atas. Maka keupayaan pihak Honor untuk menyediakan peranti dengan spesifikasi mengagumkan pada harga di bawah RM 2,000 adalah sesuatu yang sangat menakjubkan.

Buat masa ini, boleh dikatakan peranti Honor 10 ini merupakan telefon pintar yang terbaik di pasaran pada harga sedemikian. Sekiranya anda berminat untuk mendapatkan model Honor 10 yang sungguh elegan ini, anda boleh lawati laman Vmall Malaysia. Jangan ketinggalan  untuk merasai sendiri keuapayaan menakjubkan yang ada pada peranti Honor 10 ini, anda pasti tidak akan menyesal.