Kemuncak Hujan Meteor Lyrids Akan Berlaku Dalam Minggu Ini

Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) memaklumkan, mulai 18 hingga 25 April 2022 ini, Orang ramai dijangka akan dapat melihat fenomena angkasa yang dikenali sebagai Hujan Meteor Lyrids sepanjang tempoh tersebut.

Kemuncak Hujan Meteor Lyrids akan berlaku pada awal pagi 23 April 2022 ini.

Walaubagaimanapun kenampakan hujan meteor tersebut dijangka kurang baik disebabkan gangguan bulan fasa suku akhir semasa ia berlaku.

Hujan Meteor Lyrids merujuk kepada titik kemunculan hujan meteor di langit iaitu di kawasan buruj Lyra (sekumpulan bintang yang kedudukannya berlambangkan alat muzik bertali berbentuk seperti harp. Lyra dikelilingi oleh buruj Draco, Hercules, Vulpecula dan Cygnus. ).

Namun begitu kemunculannya masih boleh berlaku dari pelbagai arah.



MYSA menjelaskan, fenomena ini berlaku setiap tahun apabila Bumi beredar mengelilingi Matahari merentasi laluan orbit Komet C/1861 G1 atau lebih dikenali sebagai Komet Thatcher.

Komet Thatcher dianggarkan mengambil masa selama 415 tahun untuk melengkapkan orbitnya.

Semasa komet tersebut mengorbit menghampiri Matahari, debu-debu komet yang terbebas disebabkan oleh proses pemejalwapan akan berserakan dan membentuk laluan yang dipenuhi dengan sisa-sisa komet tersebut.

Sisa tinggalan ini akhirnya akan memasuki atmosfera Bumi dan terbakar lalu membentuk jalur bersinar yang panjang.

Jika anda berminat, anda boleh ikuti tips dari MYSA ini untuk mencerap fenomena menarik ini.



Sumber: MYSA