Kemaskini Pixel 2 Tingkatkan Lagi Prestasi Kamera

Umum mengetahui bahawa Pixel 2 menggunguli takhta kamera terbaik setakat ini, mengalahkan nama-nama besar seperti iPhone X, Huawei Mate 10 Pro, Samsung Galaxy Note 8 dan beberapa model lain.

Google dilaporkan telah mula melepaskan satu kemaskini yang mana ia kini membenarkan aplikasi pihak ketiga mengakses sistem Pixel Visual Core didalam Pixel 2 dan Pixel 2 XL.

Kapsyen: Kiri tanpa HDR+, Kanan dengan HDR+


Untuk pengetahuan anda, selain daripada Qualcom Snapdragon 835, dua model itu turut dilengkapi dengan SoC (System-on-a-Chip) tambahan iaitu Pixel Visual Core, direka khas oleh Google dengan tujuan mempercepatkan pemprosesan dan penyediaan imej berkualiti tinggi.

Ia dilengkapi dengan teknologi fotografi komputasi dan pembelajaran mesin yang mampu memproses imej 5 kali lebih laju dengan menggunakan jumlah tenaga yang rendah.

Namun begitu, sebelum ini sistem tersebut hanya boleh dipakai pada aplikasi kamera utama sahaja. Dengan kemaskini yang diberikan, aplikasi seperti Instagram, WhatsApp dan lain-lain boleh menggunakan SoC terbabit untuk menghasilkan imej yang lebih berkualiti.

Ini adalah berita baik kepada pembangun dimana mereka boleh mengubah aplikasi mereka untuk mengakses sistem perkakasan itu dan mendapatkan imej setanding kamera utama Pixel 2.

Tambahan lain, Pixel Visual Core turut mempunyai ciri dipanggil RAISR yang menggunakan pembelajaran mesin untuk mendapatkan imej yang diperbesarkan secara digital dan menjadikannya lebih tajam.

Sumber: GSM Arena