Kemaskini Chrome Untuk Android Tampil Dengan Beberapa Penambahbaikan

Kemaskini Google Chrome untuk platform Windows, Mac dan juga PC telah mula dikeluarkan pada minggu lepas dan kini sudah tiba giliran untuk platform Android pula. Kemaskini baru itu mengandungi penambahbaikan terhadap prestasi dan juga beberapa ciri baru pada halaman "New Tab".

Pengumuman tentang kemaskini tersebut dibuat di Blog rasmi Google, dan mereka menyatakan yang kemaskini Chrome 56 (56.0.2924.87) itu boleh mula dimuat turun di Google PlayStore bermula pada minggu hadapan. Antara penambahan yang dibuat adalah akses mudah bagi memuat turun fail dan menyimpan laman web. Jika anda menyentuh lama pada artikel, ia akan mencadangkan anda untuk memuat turunnya ke dalam telefon pintar dan di digunakan secara luar talian. Fungsi Sentuh dan Cari juga telah dipertingkatkan supaya lebih pantas dalam menghasilkan pencarian.

Selain itu, kemaskini dari Google ini membolehkan anda mengakses email, alamat dan nombor telefon yang terpapar pada laman web secara mudah dan pantas dengan hanya menyentuh pada maklumat tersebut. Google juga dengan yakin menyatakan refresh laman web 28% kali lebih pantas disamping menggunakan kuasa serta bandwidth yang sedikit.

Sumber: Google Blog