Kemaskini Chrome Dan Chrome OS Ditangguhkan Berikutan Covid-19

Google mengumumkan bahawa kemaskini Chrome dan Chrome OS yang dijadual bakal dilepaskan pada Selasa ditangguhkan berikutan perubahan jadual kerja disebabkan Covid-19.

Menurut Google, ia adalah untuk memastikan kemaskini tersebut terus stabil, selamat dan dipercayai untuk sesiapa yang bergantung kepadanya.

[embed]https://twitter.com/ChromiumDev/status/1240322481778569216[/embed]

Minggu lalu, Google mengumumkan semua pekerja akan bekerja dari rumah sehingga 10 April, dalam usaha menangani penularan Covid-19. Dengan pekerja yang bekerja dari rumah dan secara bertaburan, ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada kerja-kerja mereka termasuk kemaskini tersebut.

Berhubung dengan penangguhan kemaskini versi Chrome akan datang, tidak dinyatakan dengan lebih lanjut mengenai tarikh baru yang akan dilepaskan.

Pada masa ini, syarikat itu akan mengutamakan kemaskini keselamatan termasuk yang akan ditawarkan pada Chrome 80 berbanding melepaskan Chrome 81.

Dalam pada itu, Google akan memastikan pelayar tersebut berfungsi dengan stabil. Terdahulu, Google kebiasaannya menawarkan kemaskini Chrome versi stabil dalam tempoh setiap enam minggu.