Kemas Kini Terbaru Pelayar Google Chrome 81

Sebanyak 32 isu keselamatan Chrome diperbetulkan dalam kemas kini terbaru ini.


Google hari ini melepaskan kemas kini terbaru kepada aplikasi pelayar paling popular, Google Chrome dengan menjadikannya kepada versi Chrome 81.



Google memaklumkan, versi terbaru Chrome ini ditawarkan kepada pengguna Windows, Mac dan Linux.

Manakala bagi pengguna telefon pintar pula versi Chrome 81 hanya akan ditawarkan selepas beberapa minggu dari sekarang di dalam Google Play Store.

Google menyatakan bahawa dalam kemas kini Chrome 81, sebanyak 32 isu keselamatan berjaya diperbetulkan.

Sebahagian besar pepijat yang ditemui itu adalah hasil daripada penemuan oleh para penyelidik keselamatan dan imbasan dari perisian AddressSanitizer, MemorySanitizer, UndefinedBehaviorSanitizer, Control Flow Integrity, libFuzzer, atau AFL.

Selain itu, untuk versi Chrome pada peranti Android pula, Google menambah lagi 27 sokongan bahasa baru dalam Chrome untuk Android termasuklah bahasa Burma, Armenian, Urdu, Central Khmer dan Punjabi.

Juga ditambah baik adalah ciri keselamatan Chrome iaitu pada kata laluan di mana Chrome akan memaklumkan pengguna jika pengguna memasukkan kata laluan di atas laman sesawang yang tidak selamat.

Sumber: Google Blog